Home Pertahanan dan Keselamatan Imigresen usir 496 PATI Filipina dari Sabah

Imigresen usir 496 PATI Filipina dari Sabah

by Air Times News Network

SANDAKAN, 22 Mei – Seramai 496 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, penghantaran pulang PATI Filipina itu adalah kali ketiga selepas dua siri sebelum ini dengan berjumlah 674 orang.

“Bermula Januari sehingga Mei 2021, jumlah keseluruhan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diusir oleh JIM Sabah adalah seramai 1,725 orang,

“Manakala semua PATI warga Filipina telah ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar sejak tahun lalu dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah terus ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Dr Muhamad Sade, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 terhadap semua PATI bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan.

“Proses ini bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID-19 terhadap semua PATI sebelum penghantaran pulang dilaksanakan seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Tambahnya, kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua PATI telah menjalani hukuman mengikut perundangan negara untuk diusir keluar dari Sabah,” jelasnya.

Selain itu, beliau mengingatkan kepada warga asing supaya memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran masuk sebelum berada di Sabah.

Katanya, program penghantaran pulang tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh Sabah. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply