Home Pertahanan dan Keselamatan APMM pintas kapal tangki cuba lolos dari tahanan

APMM pintas kapal tangki cuba lolos dari tahanan

by Air Times News Network

KUALA LINGGI, 22 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya memintas dan memberkas sebuah kapal tangki yang cuba lolos dari tahanan APMM Johor di perairan Selat Melaka awal pagi, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, sebelum ini kapal tangki MT JW Jewel yang berdaftar di Vietnam telah ditahan melalui Op Jangkar Haram oleh APMM Johor pada 27 Mac lalu.

“Kapal tersebut telah melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Balau, Johor dan telah dikesan hilang dari kedudukan sekitar jam 9.50 malam tadi,

“Maklumat kehilangan MT JW Jewel dari lokasi tahanan telah disalurkan kepada semua Maritim Negeri dan Zon Maritim untuk pengesanan,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Beliau berkata, kedudukan semasa kapal tersebut telah berjaya dikesan semula oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), Lumut sekitar jam 9.55 malam tadi di perairan Tanjung Tuan, Negeri Sembilan, dipercayai sedang belayar menuju ke utara.

“Bot ronda APMM Melaka dan Negeri Sembilan telah diaturgerakkan ke lokasi untuk memintas kapal tersebut serta telah berjaya menahan semula MT JW Jewel sekitar jam 2.30 pagi tadi di kedudukan lebih kurang 15 batu nautika dari pantai Port Dickson,

“Master dan Chief Engineer kapal warga Indonesia telah dibawa ke ibu pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 atas kesalahan berlayar tanpa kebenaran pihak berkuasa dari posisi tahanan semasa notis tahanan telah dikeluarkan kepadanya.

Selain itu, beliau meminta komuniti maritim untuk bekerjasama melaporkan sebarang aktiviti melanggar perundangan Malaysia di perairan Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply