Home Pertahanan dan Keselamatan ATM perlukan 30 doktor, 100 paramedik untuk tambah hospital medan

ATM perlukan 30 doktor, 100 paramedik untuk tambah hospital medan

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=qm0eONG1aTM[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sekurang-kurangnya 30 orang doktor dan 100 petugas paramedik sekiranya mahu menambah pembinaan hospital medan bagi membantu kerajaan dalam menangani gelombang ketiga penularan COVID-19 di dalam negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya bersedia untuk membantu kerajaan dalam memerangi COVID-19, namun buat masa ini ATM kekurangan kakitangan dan peralatan.

Sehubungan itu, pihaknya memohon kepada kerajaan untuk membuat penambahan doktor perubatan dan paramedik bagi menampung serta membina lebih banyak hospital medan di negara ini.

“Kita mungkin akan mohon daripada kerajaan untuk tambah doktor dan paramedik. Jumlah yang ada setakat ini mampu untuk tampung keperluan di hospital sahaja,

“Untuk tambah lebih banyak hospital medan, kalau kita gunakan doktor dan jururawat sedia ada, kita akan kekurangan kakitangan di hospital tentera,

“Kalau nak tambah hospital medan kena tambah cepat. Kita bersedia ambil mereka secara kontrak yang penting perlu disegerakan,” katanya pada sidang media di Hospital Tuanku Mizan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, kerajaan telah berjaya mengoperasikan 3 buah hospital medan iaitu di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS Serdang; Dewan Kompleks Sukan Tawau serta Penjara Pokok Sena, Kedah.

“Kali ini, kita (ATM) telah menambah 2 hospital medan baru, iaitu di Dewan Masyarakat Melayu, di Kapit, Sabah yang mempunyai kapasiti sebanyak 40 buah katil,

“Manakala, yang terbaharu untuk hospital medan bagi pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pulau Pinang,

Menurutnya, ATM akan menghantar sebanyak 18 buah katil sebagai pendahuluan dan akan membuat tambahan dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, kita tambah 18 katil dulu, 24 katil jumlah maksimum,

“Kita akan buat esok (18 Mei 2021), kita akan siapkan dan mulakan esok. Kita mulakan 18 katil dulu dan maksimum sampai 24 katil,” ujarnya lagi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply