Home Pertahanan dan Keselamatan 4 kru Myanmar ditahan ceroboh perairan negara

4 kru Myanmar ditahan ceroboh perairan negara

by Nurulhuda

LUMUT, 10 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 4 kru termasuk tekong warga Myanmar kerana melanggar syarat sah lesen di posisi 1.9 batu nautika barat daya Pulau Batu Putih, pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, penahanan itu dilakukan oleh anggota bot peronda yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) Laut dan Operasi pintas (Op Pintas) di sekitar perairan Pulau Sembilan pada jam 3.15 petang.

Menurutnya, bot nelayan tempatan berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan dan sedang melakukan aktiviti perikanan dalam kawasan yang dilarang oleh syarat sah lesen iaitu kurang dari 3.0 batu nautika.

“Bot tersebut berjaya dipintas dan diberhentikan oleh bot peronda ketika aktiviti perikananan sedang dilakukan,

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut menggunakan pukat tunda dengan dikendalikan oleh 4 kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Myanmar berumur dalam lingkungan 34 hingga 39 tahun serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Shahrizan berkata, bot tersebut dipercayai berpengkalan di Hutan Melintang Perak telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di zon yang dilarang, serta Akta Imigresen 1959/63 menggajikan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Tambahnya, tekong dan kru serta bot ditahan dengan hasil tangkapan dianggarkan 30 kilogram itu diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak malam tadi bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply