Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Johor kekal momentum operasi, aset sepanjang Ramadhan dan Aidilfitri

APMM Johor kekal momentum operasi, aset sepanjang Ramadhan dan Aidilfitri

by Bernama

KOTA TINGGI, 22 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor akan menugaskan seramai 200 anggota untuk mengawal perairan negeri ini sepanjang bulan Ramadan dan sambutan perayaan Aidilfitri.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penugasan anggota yang turut terlibat dalam Ops Jangkar Haram dan Ops Benteng itu dibuat secara penggiliran.

“Kita masih mengekalkan momentum operasi yang sama dengan menggerakkan aset-aset secara optimum pada bulan puasa dan juga hari raya.

“Selain bertugas ketika situasi COVID-19 ini, kami juga melakukan penguatkuasaan bagi membanteras isu penyeludupan dadah, pendatang tanpa izin dan kapal berlabuh secara haram,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media di perairan Johor Timur, di sini Rabu malam.

Majlis berkenaan yang diadakan di atas kapal KM Perwira antara lain membawa pengamal media untuk melihat sendiri tinjauan penguatkuasaan APMM ketika bulan Ramadan.

Sementara itu, Nurul Hizam memberitahu, sebanyak 55 kapal yang berlabuh secara haram ditahan di perairan negeri ini sejak Ops Jangkar Haram dilaksanakan pada 23 Mac sehingga Rabu.

Katanya, antara lokasi panas untuk kapal ini berlabuh secara haram adalah di perairan Tompok Utara Johor kerana mengambil kira kedalaman kawasan yang kurang 60 meter.

“Semua kapal ini hanya akan dilepaskan untuk berlayar setelah membayar denda yang dikenakan di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia,” katanya. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply