Home Pertahanan dan Keselamatan Bom mortar ditemui di Ulu Tiram

Bom mortar ditemui di Ulu Tiram

by Air Times News Network

ULU TIRAM, 12 Mac – Polis Kontinjen Johor telah menjalankan tindakan pemusnahan sebutir bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) jenis Mortar 60mm Illuminating di Lorong Tenang 5, Kampung Tenang, Ulu Tiram, Johor, semalam.

UXO tersebut dijumpai oleh kontraktor sewaktu menjalankan kerja-kerja merata tanah di kawasan terbabit menggunakan jengkaut.

Sehubungan itu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama anggota UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah menjalankan tindakan pemusnahan.

Dalam satu kenyataan menerusi laman media sosial rasmi Polis Johor, pihak UPB IPK Johor mengesahkan objek tersebut adalah Mortar 60mm Illuminating berdasarkan tandaan pada objek tersebut sewaktu pemeriksaan dilakukan.

Pihak UPB IPK Johor percaya objek tersebut digunakan sewaktu era menentang komunis satu masa dahulu.

Tindakan pemusnahan UXO berkenaan telah dijalankan secara In Situation (In-Situ) dengan menggunakan teknik high order melalui kaedah elektrik.

Kerja-kerja pembersihan turut dilakukan bagi memastikan kawasan tersebut bebas dari sebarang bahan letupan lain.

Sehubungan itu, Polis Johor merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat setempat dan menggesa orang ramai yang menjumpai objek mencurigakan atau dipercayai bom agar melaporkan dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply