Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Johor musnahkan dua bom di Felda Ulu Pengeli

Polis Johor musnahkan dua bom di Felda Ulu Pengeli

by Air Times News Network

KLUANG, 9 Feb – Sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Sub Unit UPB IPD Kluang telah menjalankan tindakan pemusnahan dua butir bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) jenis Artillery meriam 85mm di ladang kelapa sawit, Felda Ulu Pengeli, Layang-layang, Kluang, Johor, semalam.

UXO tersebut dijumpai oleh pekerja ladang sewaktu sedang menjalankan kerja pemotongan buah kelapa sawit di kawasan kebun pada Ahad lalu.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi Polis Johor, semasa pihak UPB IPK Johor menjalankan pembersihan keselamatan di lokasi tersebut, sebutir lagi UXO jenis sama turut ditemui.

Tindakan pemusnahan 2 butir UXO berkenaan telah dijalankan secara In Situation (In-Situ) dengan menggunakan teknik high order melalui kaedah elektrik.

Sehubungan itu, Polis Johor menggesa orang ramai yang menjumpai objek mencurigakan atau dipercayai bom agar terus melaporkan dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Diingatkan juga supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” kata kenyataan itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply