Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM tahan 4 lelaki tempatan seludup 20 bungkusan air dan daun ketum

ESSCOM tahan 4 lelaki tempatan seludup 20 bungkusan air dan daun ketum

by Air Times News Network

KALABAKAN, 8 Mac – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan 4 lelaki warga tempatan kerana cuba menyeludup 20 bungkusan air ketum dan 11 kilogram (kg) daun ketum yang disembunyikan di dalam sebuah van, semalam.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, hasil kerjasama Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah melaksanakan rondaan di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) dan telah menahan sebuah van berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan yang dilakukan terhadap kenderaan mendapati  terdapat dua buah kotak iaitu sebuah kotak berwarna coklat dan satu lagi kotak jenis polistrin berwarna putih yang disembunyikan di bahagian belakang van berkenaan yang disyaki mengandungi bahan-bahan terlarang,

“Hasil pemeriksaan, telah menemui 11 kg daun ketum dan 20 bungkusan disyaki cecair air ketum yang disembunyikan di dalam kedua-dua kotak berkenaan,” katanya dalam hantaran di laman sosial ESSCOM.

Beliau turut menambah, kempat-empat suspek termasuk pemandu van yang berumur dalam lingkungan 24 hingga 72 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Turut dirampas sebuah van putih jenama Foton model view C2 High roof 2.8L diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM 121,310.00,

“Kesemua suspek telah dibawa ke balai polis Kalabakan untuk tindakan lanjut,” katanya

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu menjayakan pusat pemeriksaan daratan (RCP) ESSCOM terutamanya kepada semua anggota Batalion 14 PGA Tawau yang terlibat dalam penugasan ini.

“Kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya dalam menggagalkan taktik penyeludup dadah di daerah ini,”ujarnya.

Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselmatan akan terus memperkasakan kawalan di sempadan perairan dan daratan di seluruh ESSZONE.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply