RAUB, 14 Jan – Pembinaan Jambatan Compact Bailey 200 oleh 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91RAJD) di Kampung Lenchar, Ulu Dong pada 9 Januari lalu telah memberi nafas kepada para penduduk untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.
“Jambatan ini merupakan satu keperluan yang penting kepada kami di sini untuk pergi kerja dan melakukan urusan-urusan seharian,
“Terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia yang sudi membina jambatan sementara kepada penduduk setempat,” kata Bujang Selamat, 57 tahun.

Bujang Selamat, penduduk Taman Perumahan Lechar
Beliau yang merupakan salah seorang penduduk di Taman Perumahan Lechar menjelaskan, mereka telah menghadapi kesukaran apabila jambatan asal runtuh akibat hakisan tanah oleh arus deras.
“Walaupun ada jalan alternatif ke Pekan Ulu Dong, ianya adalah satu laluan yang kecil,
“Tambahan pula, laluan tersebut adalah sesuai untuk kenderaan motorsikal sahaja,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau menafikan pembinaan jambatan terbabit disegerakan kerana terdapat pekebun-pekebun durian yang sedang aktif menanam komoditi tersebut di kawasan itu.
“Sebenarnya, kebun durian di kawasan ini adalah berskala kecil dan bilangan penduduk pula adalah ramai,
“Jambatan yang runtuh telah menyebabkan hampir 500 isi rumah terputus hubungan dengan Pekan Ulu Dong,” jelas Bujang.
Terdahulu, 91 RAJD telah berjaya membina jambatan Compact Bailey 200 dalam masa 2 hari di Ulu Dong. Operasi pembinaan ini merupakan kali pertama diadakan di Pahang selepas banjir dan juga dikelolakan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Jambatan asal di kawasan tersebut telah runtuh akibat banjir pada 3 Januari lalu. Jambatan tersebut menyebabkan penduduk di Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Taman Perumahan Lenchar terputus hubungan. – airtimes.my

Jambatan musnah akibat hakisan tanah oleh arus sungai yang deras telah menyebabkan lebih 500 isi rumah terputus hubungan dengan pekan Ulu Dong dan bandar Raub. Foto: Air Times