Home Pertahanan dan Keselamatan Op Murni: ATM aturgerak 4,983 anggota bantu rakyat terjejas banjir di seluruh negara

Op Murni: ATM aturgerak 4,983 anggota bantu rakyat terjejas banjir di seluruh negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan seramai 4,983 pegawai dan anggotanya menerusi Op Murni di 6 negeri yang terjejas banjir mulai hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 1,015 aset-aset ATM turut di atur gerak bagi membantu negeri yang terjejas banjir iaitu di Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak.

“Antara aset yang terlibat adalah 226 buah trak 1 tan; 538 buah trak 3 tan; 7 buah trak 5 tan; 29 buah trak 7 tan; 188 buah bot tempur; 2 buah bot CB 90; 3 buah bot Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB); 4 buah bot getah; 10 buah Bailey Bridge; 2 buah pesawat pengangkut dan 6 buah helikopter,

“Sehingga semalam, situasi banjir telah menjejaskan 6 buah negeri itu melibatkan pemindahan seramai 22,699 mangsa di 282 pusat pemindahan,

“Susulan daripada itu, ATM telah mengaturgerakkan sebahagian trup dan asetnya di negeri yang terjejas teruk iaitu di negeri Pahang dan Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya di Pahang, ATM telah mengatur gerak trup dan aset di 10 daerah yang terjejas iaitu Kuantan, Maran, Pekan, Rompin, Jerantut, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Temerloh.

“Trup yang terlibat adalah Batalion Kedua Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (12 RAMD) di kawasan tanggungjawab Kuantan dan Maran,

“Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) diaturgerakkan di Pekan dan Rompin. Manakala Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD) pula di Jerantut melibatkan keseluruhan kekuatan seramai 18 pegawai dan 315 anggota lain-lain pangkat (LLP),

“Aturgerak ini termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kekuatan 1 pegawai dan 7 anggota LLP yang turut membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan Seberang Balok, Kuantan,” ujarnya.

Manakala aset yang terlibat di negeri ini adalah 13 buah bot dilengkapi outboard motor (OBM), 23 buah kenderaan 3 tan, 8 buah kenderaan Land Rover, dan 2 buah kenderaan 7 tan.

“Jambatan Bailey Compact 200 akan dipasang di Pekan Ulu Dong, Raub bagi menghubungkan penduduk setempat ke jalan utama Ulu Dong yang terputus,” jelasnya.

Di Johor, seramai 6 pegawai dan 231 anggota LLP dari Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) dan Rejimen Ketiga Puluh Tiga Artileri Diraja (33 RAD) telah diaturgerak melibatkan Pontian, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

“Aset yang terlibat di negeri ini adalah 1 buah bot di lengkapi OBM, 16 buah kenderaan 3 tan, 6 buah kenderaan Land Rover dan 2 buah kenderaan 7 tan,” tegasnya.

Secara keseluruhannya, atur gerak terkini ATM di dua negeri tersebut adalah seramai 24 pegawai dan 546 anggota. Jumlah aset pula adalah sebanyak 14 buah bot dilengkapi OBM, 39 buah kenderaan 3 tan, 14 buah kenderaan Land Rover dan 4 buah kenderaan 7 tan.

“ATM akan sentiasa bersiap sedia dan memantau perkembangan banjir yang melanda serta akan bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat di semua negeri di seluruh Malaysia,” katanya kenyataan itu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply