Home Pertahanan dan Keselamatan 3 kanak-kanak antara 31 PATI Indonesia dicekup

3 kanak-kanak antara 31 PATI Indonesia dicekup

by Azura Daril

KOTA TINGGI, 5 Jan – Tiga orang kanak-kanak antara 31 orang pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) di persisir pantai Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor, pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI itu ditahan dalam 3 siri tangkapan ketika cuba untuk pulang ke negara asal melalui lorong tikus di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

Menurutnya, anggota petugas yang sedang melakukan rondaan telah mengesan sekumpulan yang disyaki PATI sedang berkumpul di kawasan persisir pantai berkenaan.

“Pasukan telah bertindak mengatur gerak tim Quick Reaction Force (QRF) untuk melakukan penjejakan dan mengepung kawasan tersebut,

“Hasil serbuan pada jam 12.25 pagi telah berjaya menahan 18 PATI. Manakala, hasil penjejakan dan penggeledahan pasukan telah berjaya menahan 5 lagi PATI di sekitar kawasan am Kampung Punggai,

‘Penahanan ketiga pula dilakukan hasil penjejakkan dari tim dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Combat Tracking Team (CTT) telah berjaya menahan 8 PATI lagi yang bersembunyi di kawasan am Kampung Kuala Sungai Punggai,” katanya.

Kesemua 31 PATI yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki, 7 perempuan, 1 kanak-kanak lelaki dan 2 kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia sekitar 4 hingga 47 tahun.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 48,297.67 melibatkan wang tunai Malaysia, matawang Indonesia, telefon pintar, barangan kemas serta jam tangan pelbagai jenama,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),

“Manakala, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” tambahnya.

Menurutnya, TDM akan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply