Home Pertahanan dan Keselamatan 49 PATI ditahan dalam Op Benteng semalam

49 PATI ditahan dalam Op Benteng semalam

by Azura Daril

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan semalam menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dijalankan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan keselamatan turut merampas 7 kenderaan darat dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara, semalam.

“Sebanyak 110 sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan semalam yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menerusi Op Penawar sebanyak 38 SJR,

“Op Benteng PDRM (63) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebanyak 9 SJR,” ujarnya.

Selain itu, melalui Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah menahan seramai 169 individu kerana ingkar arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semuanya telah dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuklah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (81); tidak memakai pelitup muka (35); aktiviti pusat hiburan (31); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13); dan lain-lain (9),” jelasnya.

Sejak 1 Disember 2020, kerajaan juga telah mengarahkan semua pekerja warga asing yang bekerja di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial untuk menjalani ujian saringan COVID-19 serta kos perlulah ditanggung oleh majikan.

“Bermula 1 Januari 2021 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah akan ditamatkan seperti yang dijadualkan pada hari ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply