Home Pertahanan dan Keselamatan NTF wajar diteruskan kekang kemasukan PATI

NTF wajar diteruskan kekang kemasukan PATI

by Pasri Asyraf

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan diteruskan walaupun pandemik COVID-19 telah berakhir.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menegaskan, kejayaan pasukan National Task Force (NTF) dalam mengaturgerakan operasi secara bersepadu dilihat mampu membanteras kemasukan PATI ke dalam negara, sekaligus mengekang jenayah rentas sempadan.

“Walaupun penubuhan awal NTF hanya untuk Op Benteng sewaktu COVID-19, tetapi jika dilihat melalui tindakan dan kejayaan pasukan ini dalam menangkap dan mengusir PATI, saya kira ia merupakan satu perkara yang baik untuk negara,

“PATI ini bukan hanya merbahaya kepada negara sewaktu COVID-19 sahaja. Kita nak sekat mereka masuk kerana berkemungkinan membawa virus COVID-19 bersama mereka. Mereka juga melakukan jenayah rentas sempadan,

“Jenayah rentas sempadan ini tidak kira waktu COVID-19 atau pun tidak. Ianya tetap merupakan jenayah,” tegasnya ketika sidang media khas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Beliau menjelaskan, lambakan kemasukan PATI ke dalam negara ini sememangnya perlu disekat sepanjang masa kerana ia bukan sahaja menyusahkan negara tetapi ia juga akan mengancam keselamatan penduduk setempat.

“Operasi bersepadu ini bukan sahaja perlu dibuat secara agresif sewaktu COVID-19, tetapi ia perlu dilakukan sepanjang masa. Kita tidak akan membenarkan negara dibolosi oleh sesiapa sahaja,

“Pada pandangan peribadi saya, atas kejayaan Op Benteng ini, Op Benteng perlu diteruskan. Perbincangan akan dilakukan pada masa yang akan datang,” ujar beliau.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Jenaral Tan Sri Affendi Buang TUDM turut menegaskan Op Benteng adalah penting dan akan diteruskan demi kesejahteraan ekonomi dan rakyat.

Beliau menjelaskan, operasi ini akan diteruskan bagi menjaga sempadan maritim dan darat negara secara berkesan dan lebih efektif. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply