Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: Dron perkukuh pengoperasian Markas ATB 2 kawal Pantai Timur Sabah

Op Benteng: Dron perkukuh pengoperasian Markas ATB 2 kawal Pantai Timur Sabah

by Nurul Aini

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuhkan pengoperasian persempadanan negara dalam Operasi Benteng (Op Benteng) dengan mengatur gerak aset dron bagi membantu mengekang jenayah rentas sempadan adn penyeludupan di Pantai Timur Sabah.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigedier Jeneral Johari Mohd Jaafar berkata, dron  merupakan  aset terkini  yang diterima  Mks ATB 2 dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi.

“Kepadatan penempatan di Pantai Tawau dan kawasan berpaya yang luas memerlukan keanggotaan yang ramai bagi mengawalnya,

“Namun aturgerak dron ke kawasan tersebut dapat menutup jurang dan kekangan pengoperasian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, Tim Quick Reaction Force (QRF) dan dron digembleng agar penyaluran maklumat terkini, semasa dan tepat serta digunakan sebagai platform aturgerak tindakan pengekangan selanjutnya.

“Pengawasan dan pemantauan di kawasan tanggungjawab dilaksanakan siang dan malam secara berterusan,

“Pengoperasian dron ini akan meningkatkan lagi keupayaan ATB 2 dalam melaksanakan Op Benteng bersama terutamanya dari aspek operasi dan risikan udara di kawasan berisiko tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, dengan penggunaan aset terkini ini dapat memastikan keselamatan dan kepercayaan masyarakat tempatan terhadap kredibiliti dan peranan ATM kekal teguh terpelihara.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua anggota supaya sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi dari masa ke semasa.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply