PELABUHAN KLANG, 21 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 4.8 batu nautika barat daya Tanjung Rhu, Pulau Carey, Selangor pada 18 Disember yang lalu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan bersama 5 kru lelaki warga Myanmar yang sedang menangkap ikan di kawasan tersebut.
“Bot itu ditahan berikutan melakukan aktiviti yang mencurigakan dan didapati sedang menangkap ikan di kawasan kurang dari 15 batu nautika,
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tekong warga tempatan bersama 5 kru lelaki warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, hari ini.
Mohamad Rosli berkata, mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 30 hingga 51 tahun itu telah ditahan bersama ikan campur yang dianggarkan lebih kurang 200 kilogram.
“Tekong serta bot telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika,
“Manakala 5 kru lelaki warga Myanmar disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya. – airtimes.my