Home PolitikBarisan Nasional Saarani angkat sumpah MB Perak ke-14

Saarani angkat sumpah MB Perak ke-14

by Air Times News Network

KUALA KANGSAR, 10 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah.

Sultan Nazrin berkenan melantik Saarani sebagai Menteri Besar Perak setelah beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN dan dibuat berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Saarani, 59, menggantikan ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletakkan jawatan Menteri Besar pada 5 Disember lalu selepas gagal memperoleh undi percaya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi daripada 59 penyokong, dengan 48 menentang usul dan satu berkecuali.

Dilahirkan pada 13 Mac 1961 di Kampung Raban, Lenggong Perak dan berkahwin dengan Datin Aezer Zubir serta dikurniakan lapan orang cahaya mata.

Beliau memulakan kerjaya sebagai sorang guru pada 1982 setelah menamatkan pengajian Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Saarani juga melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM). – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply