Home Pertahanan dan Keselamatan Markas baharu MAWILLA 2 untuk pertingkat keselamatan pantai timur Sabah – TLDM

Markas baharu MAWILLA 2 untuk pertingkat keselamatan pantai timur Sabah – TLDM

by Bernama

SANDAKAN, 9 Dis – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) akan memiliki markas yang lebih sesuai yang akan dibina dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali berkata MAWILLA 2 dipindahkan dari Sepanggar di Kota Kinabalu ke Sandakan pada Ogos 2017 untuk meningkatkan keselamatan di pantai timur Sabah, tetapi masih beroperasi dari markas kecil di KD Sri Sandakan.

“Sebelum ini, TLDM adalah unit kecil beroperasi di KD Sri Sandakan bagi menyediakan sokongan logistik kepada kapal kecil yang datang ke Sandakan.

“Tetapi kini, kita telah menjadi pusat pemerintahan serantau dan tanggungjawabnya tidak sepadan dengan saiz infrastruktur sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas program penghargaan atas khidmatnya di MAWILLA 2 di sini, semalam.

Sabri yang akan memulakan tugas baharunya sebagai Panglima Armada Timur pada 18 Dis ini berkata tanah seluas 2.2 hektar milik kerajaan negeri di sini dikenal pasti sebagai tapak markas baharu dan TLDM sedang berusaha untuk memindahkan hak milik tanah itu kepada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata terdapat juga keperluan untuk pembinaan kompleks kediaman baharu bagi pegawai dan anggota TLDM termasuk mereka yang berkeluarga.

Menurut beliau, pada masa ini terdapat 256 unit rumah untuk anggota TLDM manakala 236 adalah unit yang disewa.

“Kita perlu membina sekurang-kurangnya 300 unit lagi bagi menampung semua kakitangan dan untuk pembangunan masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Sabri berkata empat Kapal Misi Pesisir (LMS) buatan China dijangka tiba di Kota Kinabalu pada hujung tahun ini dan dua daripada kapal peronda berkenaan iaitu KD Ganas dan KD Serang akan ditempatkan di Sandakan, yang akan meningkatkan bilangan pegawai dan anggota yang bertugas di MAWILLA 2.

“Pada masa ini terdapat kira-kira 1,200 kakitangan TLDM tidak termasuk mereka yang membawa keluarga. Kita jangka jumlahnya akan meningkat kira-kira 2,000 orang pada masa hadapan dan sekiranya mereka membawa keluarga bersama, langkah ini juga memberi manfaat kepada ekonomi domestik Sandakan,” katanya.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply