Home Pertahanan dan Keselamatan TUDM terbangkan 2 bayi Sabah perlukan rawatan segera di IJN

TUDM terbangkan 2 bayi Sabah perlukan rawatan segera di IJN

by M.Daim

SUBANG, 4 Dis – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa 2 bayi lelaki Sabah yang menghidapi penyakit jantung.

Misi penerbangan ihsan itu dilaksanakan dengan menggunakan pesawat C-130H dari No 20 Skuadron Pangkalan Udara Subang.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua bayi yang masing-masing berusia 1 dan 2 bulan memerlukan rawatan segera di Institut Jantung Negara.

“Mereka diterbangkan dari Kota Kinabalu ke Pangkalan Udara Subang yang memakan masa perjalanan selama 3 jam,

“Kedua-dua bayi tersebut sebelum ini telah menerima rawatan daripada Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah,

“Mereka diiringi oleh ibu masing-masing, seorang pegawai perubatan dan seorang jururawat,” katanya.

Menurut TUDM, penerbangan ihsan ini turut membawa sampel COVID-19 dari Kota Kinabalu bagi menjalani ujian pengesahan makmal di Semenanjung Malaysia.

Operasi ini juga melibatkan 2 set juruterbang.

Ambulan Institut Jantung Negara (IJN) bersiap sedia membawa kedua-dua bayi dari Sabah untuk jalani rawatan di pusat perubatan. Foto: TUDM

“Set pertama melibatkan Mejar Khairol Fadzley Abu Bakar TUDM selaku juruterbang dan Kapten Muhammad Faiz Ahmad Shukri TUDM sebagai pembantu juruterbang,

“Set kedua pula adalah Mej Ahmad Zikri Azhar TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapt Jamaludin Juhari TUDM,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, TUDM turut mendoakan agar kedua-dua bayi terbabit selamat menjalani rawatan dan kembali sihat.

“Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama bersama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan serta membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga bayi berkenaan,

“TUDM sentiasa komited di dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan di dalam menjaga kedaulatan negara tercinta dan turut menunaikan tanggungjawab kemanusiaan khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” ujarnya. – airtimes.my

Galeri Gambar:

 

Related Articles

Leave a Reply