Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM rampas dadah bernilai RM 2.5 juta ditinggalkan dalam bot

ESSCOM rampas dadah bernilai RM 2.5 juta ditinggalkan dalam bot

by Nurulhuda

TAWAU, 25 Nov – Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mengagalkan cubaan penyeludupan keluar sejumlah 54.35 kilogram dadah jenis syabu dan 234 biji pil Ecstasy dianggarkan bernilai RM 2,435,000.00 yang dijumpai di dalam sebuah bot laju, di Kuala Sungai Tawau Lama, pada Isnin lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, rampasan itu dilakukan susulan radar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengesan sebuah bot laju dari Tawau ke perairan Indonesia dalam keadaan mencurigakan.

“Aset laut ESSCOM yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjalankan Operasi Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) (OCP) telah berjaya mengesan dan memintas bot tersebut,

“Apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan laut ESSCOM, bot tersebut berpatah balik dan memecut ke arah Kuala Sungai Tawau Lama,

“Namun, pasukan keselamatan terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), ATM dan Narkotik IPD Tawau yang menjalankan rondaan OCP daratan telah menyerbu bot dinaiki 2 suspek tersebut dan berlaku kejar-mengejar,

“Suspek berjaya melarikan diri ke kawasan gelap dan usaha mengesan suspek masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang itu, anggota menjumpai 3 kotak berlainan saiz dengan kotak yang pertama mengandungi 36 bungkus Teh China bertulis Qing Shan berisi dadah syabu dianggarkan seberat 38.167.49 gram.

“8 bungkus Teh China yang serupa didalam kotak kedua, 7 bungkusan syabu lagi didalam kotak ketiga,

“Selain itu, terdapat juga 1 beg plastik yang mengandungi 234 biji pil Ecstasy yang dianggarkan seberat 74.56 gram,”ujarnya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 2,495 juta yang melibatkan 51 bungkus syabu, pil ekstasi dan sebuah bot laju berserta enjin sangkut jenis Yamaha 200hp.

Menurut Ahmad Fuad, rampasan ini merupakan hasil rampasan yang terbesar sejak OCP Darat dan Laut di lancarkan pada 2 Mac lalu.

“OPC adalah inisiatif rondaan bersama yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM dan APMM bertujuan mengekang kemasukan PATI bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19,

“Selain itu, operasi ini juga berjaya mencegah aktiviti penyeludupan, jenayah rentas sempadan, elemen KFRG hasil kerjasama antara agensi,” katanya.

Beliau turut menegaskan ESSCOM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjadi pengkhianat kepada negara.

“Amaran keras kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti tekong darat dan laut serta penyeludupan agar menghentikan semua aktiviti haram ini serta merta atau mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” ujarnya lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply