Home Pertahanan dan Keselamatan APMM usir bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

APMM usir bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

by Air Times News Network

KUALA TERENGGANU, 16 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengusir 5 buah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara, kelmarin.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesemua bot tersebut dikesan di 5 posisi berbeza iaitu sekitar 137 hingga 150 batu nautika dari Kuala Terengganu.

“Kesemua bot nelayan itu dikesan oleh pesawat udara Bombardier CL415 Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin pengawasan udara di perairan Terengganu,

“Maklumat pencerobohan itu telah disalurkan kepada Kapal Maritim KM Langkawi yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut di sekitar perairan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KM Langkawi kemudiannya telah menurunkan bot kilat (RHIB) bersama pasukan penggeledah dan mengarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot nelayan berkenaan cuba melarikan diri ke arah perairan sempadan Malaysia dan Vietnam,

“Bot berkenaan bertindak memecut menuju sempadan perairan Malaysia-Vietnam apabila diarahkan berhenti oleh pasukan Maritim Malaysia,” jelas Muhammad Suffi.

Setelah itu, KM Langkawi dan bot RHIB terus mengarahkan ketiga-tiga bot nelayan Vietnam itu berhenti untuk diperiksa dan seterusnya mengusir keluar sehingga ke sempadan perairan negara.

Selain pengusiran APMM juga merampas pukat dan bekalan air serta makanan dibuang ke laut.

Tujuannya adalah untuk memastikan mereka tiada pilihan berada di laut bagi melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dan pulang ke negara mereka.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, APMM Terengganu telah merekodkan 96 pengusiran ke atas bot nelayan asing yang melibatkan seramai 992 kru termasuk tekong.

“Tindakan pengusiran ini dilaksanakan bagi mengekang pewujudan kluster baharu COVID-19 yang berpunca daripada pencerobohan oleh bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam perairan negara,

“APMM Terengganu akan terus komited dalam menggalas tugas dan tanggungjawab walaupun cabaran keadaan cuaca yang tidak menentu pada hujung tahun terutama monsun timur laut,” tegasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply