KUALA LUMPUR, 9 Nov – Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia bersama seorang wanita tempatan ditahan oleh pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1KAD) dalam Operasi Benteng (Op Benteng) awal pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, penangkapan tersebut dibuat semasa pasukan 1 KAD sedang melakukan rondaan dan pengintipan di sekitar kawasan Desaru Coast, Bandar Penawar, Johor
“Hasil pengintipan, 2 serbuan berasingan telah dilakukan sekitar jam 3.15 pagi oleh 1 KAD. Seramai 25 orang PATI warga Indonesia berjaya di tahan dan dipercayai sedang menunggu untuk pulang ke negara asal,
“Penahanan tersebut terdiri daripada 20 orang lelaki dan 5 orang wanita,”katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, 1 KAD turut menahan 19 lagi PATI warga indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini dengan menggunakan lorong tikus bersama seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun.
“Kesemua PATI yang ditahan berumur lingkungan sekitar 20 hingga 54 tahun.
“Nilai rampasan keseluruhan serbuan dianggarkan berjumlah RM 84,576.92 melibatkan wang tunai RM 41,982.00 dan matawang Indonesia IR 45,879,700.00 Rupiah (RM 12,977.94) serta beberapa jenis matawang lain bersama 60 buah telefon bimbit dan 15 utas jam tangan.
Selain itu, kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia
Pasukan akan meneruskan atur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) bagi menjejaki saki baki PATI yang berada disekitar kawasan tangkapan, Ujarnya dalam kenyataan yang di keluarkan hari ini.-airtimes.my