Home Pertahanan dan Keselamatan Pengarah Perisikan lantikan khas Pakatan Harapan didakwa pecah amanah

Pengarah Perisikan lantikan khas Pakatan Harapan didakwa pecah amanah

by Admin

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Seorang pegawai kanan dari Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) berpangkat Leftenan Jeneral (Bersara) yang di pilih secara lantikan khas ke jawatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan sebaik Pakatan Harapan memerintah bersama 2 lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkait salahguna kuasa, hari ini,

Mereka yang terlibat, telah didakwa atas 17 pertuduhan menerima serta meminta rasuah bernilai RM3.5 juta berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan tahun lalu.

Tertuduh, Leftenan Jeneral, Datuk Sheikh Moksin Sheikh Hassan, (59) yang merupakan pegawai RAMD mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

2 lagi pegawai kanan yang didakwa ialah Che Ahmad Idris, (54) dari Rejimen Semboyan Diraja dan bekas Penasihat Ketenteraan YB Mohammad Sabu, Brigedier Jeneral Mohammed Feizol Anuar, (50) di atas pertuduhan yang sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Che Ahmad didakwa atas 5 tuduhan meminta (RM500,000), bersetuju menerima (RM500,000) dan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM105,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity (FEHM Entity) Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, untuk mencadangkan pelantikan syarikat itu secara rundingan terus bagi Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Che Ahmad dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, pada September 2019 dan April 2020.

Sementara itu, Mohammed Feizol pula, didakwa atas 5 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM128,000 daripada Elias melalui anak perempuannya dan pengarah syarikat FEHM, Hishamuddin Johari untuk membantu menyerahkan surat niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan.

Feizol dituduh melakukan kesalahan itu beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, antara 30 Oktober 2019 dan 24 Jun 2020 dan didakwa atas tuduhan sama.

Sheikh Mokhsin turut didakwa atas tuduhan meminta RM1 juta, bersetuju menerima RM1 juta dan 4 tuduhan menerima RM266,000 daripada Elias untuk meluluskan cadangan perlantikan FEHM Entity secara rundingan terus bagi peralatan khas ATM.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi antaranya di pejabatnya dan di sebuah hotel di Kuala Lumpur antara Jun 2019 dan Jun 2020.

Sementara itu, dia juga berdepan tuduhan menerima suapan RM50,000 daripada Syed Omar Syed Mohamad kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd membekalkan dua sistem khas bagi Angkatan Tentera Malaysia di pejabatnya, jam 2.30 petang, pada 26 Jun 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman dan Siti Noor Hafizan Zakaria masing-masing menawarkan jaminan RM100,000 terhadap ketiga-tiga untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan.

“Dalam kes ini, pertuduhan terhadap setiap tertuduh melibatkan jumlah yang besar dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda,

“Kedudukan mereka sebagai pegawai-pegawai tinggi juga perlu diambil kira. Mohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang setimpal supaya menunjukkan kepada orang di luar sana bahawa mahkamah memandang serius terhadap kes-kes sebegini,” kata Muhammad Asraf.

Sementara itu, Siti Noor Hafizan Zakaria turut menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Sheikh Mokhsin bagi pertuduhan ketujuh.

Bagaimanapun, semua tertuduh dalam rayuan masing-masing menerusi peguam Gooi Soon Seng, Azrul Zulfikli Stork dan Datuk Mohd Shahrom Mohamad serta P G Cyril memohon dibenarkan jaminan rendah dengan alasan mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Cyril yang mewakili Sheikh Mokhsin dalam rayuannya memberitahu mahkamah anak guamnya kini sudah bersara selain mempunyai 2 anak masih belajar serta isteri yang tidak bekerja.

Hakim membenarkan Che Ahmad dan Mohammed Feizol, masing-masing diikat jamin RM80,000 dan RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan Sheikh Mokhsin diikat jamin RM110,000 dengan seorang penjamin dan mengguna pakai syarat tambahan sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply