Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: ATM buka Pusat Rawatan Sementara di Penjara Kepayan

COVID-19: ATM buka Pusat Rawatan Sementara di Penjara Kepayan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersetuju untuk mewujudkan Pusat Rawatan Sementara atau Makeshift Treatment Center (MTC) di dalam kawasan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu bagi membendung penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara hari ini telah mendengar pembentangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengenai keperluan untuk menambah fasiliti perubatan di penjara tersebut.

“Penjara Kepayan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini akibat daripada peningkatan jumlah positif COVID-19 di penjara tersebut,

“Sehubungan itu, ATM bersetuju untuk mewujudkan MTC di dalam kawasan penjara tersebut untuk

dijadikan pusat rawatan atau tempat pengasingan pesakit yang dijangkiti COVID-19,” katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-217 dan hari ke-133 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Menurut Ismail Sabri, persediaan MTC ini akan dilakukan dalam masa terdekat mengikut model serupa yang telah dilaksanakan di Penjara Pokok Sena, Kedah sebelum ini.

Mengenai Hospital Medan, Ismail Sabri berkata hospital tersebut telah mula beroperasi dan menerima 4 pesakit bukan COVID-19 hari ini.

“Seperti diumumkan sebelum ini bahawa Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM akan membuka Hospital Medan di Tawau, Sabah dan akan mula beroperasi minggu ini,

“Alhamdulillah, saya ingin umumkan bahawa hospital medan ini sudahpun beroperasi dan telah menerima empat pesakit hari ini,

Pengoperasian Hospital Medan ATM ini sebagai bantuan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memberi fokus kepada rawatan kes-kes bukan COVID-19.

Selain itu, beliau berkata ATM bersedia untuk membuka Hospital Medan di Kota Kinabalu jika terdapat keperluan untuk membukanya.

“Fokus ATM adalah kes yang tidak melibatkan pesakit COVID-19, ini memberi ruang kepada hospital KMM memberi fokus sepenuhnya dalam menangani kes-kes COVID-19,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply