Home Pertahanan dan Keselamatan Ucapan melampau guris hati keluarga anggota tentera, polis yang terkorban

Ucapan melampau guris hati keluarga anggota tentera, polis yang terkorban

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Tuduhan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing ketika insiden pencerobohan Lahad Datu merupakan tuduhan yang tidak bertanggungjawab serta tidak boleh diterima sama sekali.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban samada anggota ATM mahupun di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut menegaskan tuduhan itu juga telah memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika itu.

“ATM amat terkesan dengan kenyataan seorang ahli politik yang mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 adalah merupakan suatu sandiwara negara,

“Tuduhan anggota ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing juga merupakan tuduhan yang tidak benar,” kata Affendi dalam kenyataan, hari ini.

Affendi turut menegaskan, bahawa ATM berperanan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam mendepani pelbagai ancaman.

“Walau apa pun halangan atau cabaran yang mendatang, aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan negara ini,

“ATM yang kini 87 tahun pada 16 Sep 2020 lalu, menyaksikan telah banyak darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurahkan demi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Malaysia pada hari ini sentiasa terpelihara,

“Kenikmatan yang tersedia ini tidak datang bergolek, sebaliknya ia telah meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini,” tambahnya.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian Negara.

“Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama,

“Keupayaan ATM pada masa kini bukan sekadar berupaya mempertahankan kedaulatan negara, malah ATM juga berupaya untuk menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang dinaungi Negara,”ujarnya.

Terdahulu, tular video ceramah Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi semasa berkempen untuk Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyatakan tragedi pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 adalah satu sandiwara oleh kerajaan pada masa itu.

Dalam video ucapanya itu, beliau yang juga calon parti Warisan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Segama berkata, anggota tentera telah berperang dengan ayam dan anjing ketika peperangan di Tandua, Sabah.

“Jadi ada peperangan konon di Tanduo datanglah jet (pesawat tentera) pergi Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang, habis hangus kelapa sawit orang, habis rumah orang koyak-mengoyak ditembak,

“Ini kenyataan, habis itu disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung, suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang, tidak ada, ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

1 comment

RAKHAMAWATI BINTI GHAZALI 21 September 2020 - 8:08 pm

Sila ambil tindakan yg tegas.. Tiada maaf bagi kenyataan tersebut.. suatu pengkianatan yg jelas.

Reply

Leave a Reply