Home Pertahanan dan Keselamatan Komando tinggal dalam kandang kambing bukan bekas tentera – JHEV

Komando tinggal dalam kandang kambing bukan bekas tentera – JHEV

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menyangkal dakwaan mengenai bekas komando terpaksa tinggal di kandang kambing adalah orang awam dan tidak pernah berkhidmat dalam ATM.

JHEV mengambil maklum mengenai artikel oleh sebuah akhbar tempatan bertarikh 3 Ogos 2020 bertajuk ‘Bekas Komando Tumpang Teduh Di Kandang Kambing’ adalah tidak benar.

Menurut JHEV, hasil siasatan yang dibuat Rosly Omar, 61, adalah orang awam dan tidak pernah berkhidmat dengan ATM.

“Rosly juga bukan bekas komando seperti mana yang dilaporkan dan beliau sendiri menafikan pernah mengaku dirinya sebagai ‘Bekas Komando’ atau pernah berkhidmat di dalam ATM,” kata JHEV dalam satu kenyataan semalam.

Tambah JHEV, berdasarkan Seksyen 2, Akta Veteran 2012, Veteran ATM adalah mereka yang terdiri daripada rakyat Malaysia yang telah berkhidmat dalam pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Pasukan Simpanan ATM yang dikerah sepenuh masa tanpa mengira tempoh khidmat; Force 136; Tentera British (British Army) yang berkhidmat di Malaysia/Singapura; dan Sarawak Rangers.

“Sebagai maklumat, Anggota Tentera yang ditamatkan perkhidmatannya di atas sebab perbuatan salah laku dan tatatertib juga tidak diiktiraf sebagai Veteran ATM,

“JHEV ATM ingin menyeru supaya mana-mana pihak seharusnya menyemak terlebih dahulu status mana-mana individu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau laporan yang boleh menjejaskan imej JHEV ATM amnya dan Kementerian Pertahanan khasnya,” ujarnya.

Sebelum ini, akhbar tersebut melaporkan seorang bekas anggota komando tentera darat terpaksa menumpang teduh di kandang kambing milik abang angkatnya di Pasir Panjang, Port Dickson sejak awal bulan lalu kerana tidak mampu menyewa rumah. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply