Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Kelantan tahan 2 bot, 11 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

APMM Kelantan tahan 2 bot, 11 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

by Nurulhuda

PASIR PUTIH, 21 Jul – Kedegilan bot nelayan Vietnam yang mengambil kesempatan menceroboh dan menangkap hasil laut di perairan negara membawa padah apabila ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di perairan Kelantan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, dua bot nelayan asing Vietnam bersama 11 orang termasuk tekong itu gagal melarikan diri daripada buruan bot ronda APMM Kelantan yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut yang diaktifkan bagi membanteras kemasukan bot nelayan asing di perairan Pantai Timur.

”Bot Maritim Penyelamat 7 menahan bot terbabit di perairan Kelantan pada jarak lebih kurang 56.3 dan 61.7 batu nautika daripada Muara Tok Bali semalam pada jam sekitar 6.00 petang dan 7.03 petang ketika mereka sedang menangguk gamat,

”Ini merupakan tangkapan ke-26 dan ke-27 menerusi Op Kuda Laut bagi seluruh perairan Malaysia serta menjadikan jumlah keseluruhan tahanan ialah 292 orang,

”Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati, enam awak-awak dan tekong berada di atas bot berkenaan. Manakala bot kedua, memiliki lima orang awak-awak termasuk tekong dan jumlah mereka yang ditahan adalah 11 orang,

“Kesemua mereka adalah warga Vietnam berumur dalam lingkungan 16 hingga 53 tahun,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Asmawie berkata kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan dibawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Nilai keseluruhan tangkapan termasuk bot, hasil gamat dan diesel dianggarkan berjumlah lebih kurang RM260,000,

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600,000 awak-awak serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10 ribu atau penjara tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan,” tambahnya lagi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply