Home Pertahanan dan Keselamatan Sila namakan negara biarkan PATI bebas berkeliaran – Ismail Sabri

Sila namakan negara biarkan PATI bebas berkeliaran – Ismail Sabri

by M.Daim

PUTRAJAYA, 6 Julai – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan laporan Al-Jazeera terhadap usaha Malaysia dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan COVID-19 adalah tidak benar serta berniat jahat.

“Saya percaya, Al-Jazeera tidak berminat terhadap fakta sebenar. Saya berharap, sebagai sebuah media antarabangsa yang beretika tinggi, mereka diminta untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia,” kata Ismail Sabri semasa Sidang Media Harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, hari ini.

Menurut beliau, dakwaan kanak-kanak digari dalam operasi banteras PATI adalah pembohongan secara terbuka oleh stesen televisyen berpangkalan di Qatar itu.

“Al Jazeera bahawa kanak-kanak di gari – ini satu pembohongan secara terbuka. Saya percaya pemberita (stesen itu) tidak mempunyai etika dalam laporan,

“Sebenarnya kanak-kanak tidak digari. Mereka diasingkan bersama ibu bapa mereka di pusat khas depo tahanan dan tidak bercampur dengan tahanan2 lain,” katanya.

Beliau turut menempelak dakwaan stesen televisyen tersebut yang mengatakan perintah berkurung hanya dikenakan kepada warga asing.

“Perintah berkurung dikenakan terhadap semua. Di Selangor Mansion, rakyat tempatan

dikurung bersama warga asing yang mempunyai dokumen dan juga PATI melalui Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),

“Menuduh kita untuk mengurung PATI sahaja di bawah PKPD adalah tidak benar. Cuba lihat pusat tahfiz dan beberapa perkampungan yang telah dikenakan PKPD,

“Polisi kita adalah jelas iaitu untuk mengekang penularan wabak COVID-19,” jelas Menteri.

Beliau turut menolak PATI tidak diberikan layanan sama rata dalam melaksanakan pencegahan dan rawatan COVID-19.

“Kita beri layanan sama rata kepada semua. Pekerja asing yang mempunyai dokumen telah disaring dan dirawat di pusat perubatan,

“Untuk PATI, kita tidak membiarkan mereka untuk terus dijangkit. Malah, mereka menjalani saringan dan terus dihantar ke Pusat Rawatan Khas di MAEPS Serdang sehingga sembuh,

“Setelah sembuh, kita hantar mereka pulang,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, sama dijangkiti atau bebas COVID-19, PATI tetap melanggar undang-undang negara dan perlu diambil tindakan.

“Setiap warga asing yang ingin memasuki negara ini perlu mempunyai dokumen yang sah. Mereka yang melanggar peraturan sudah tentu akan diambil tindakan dan dihantar pulang,

“Tuduhan rasis adalah tidak benar kerana kita bertindak mengikut lunas undang-undang. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan PATI yang tidak mempunyai dokumen sah (melebihi tempoh) dan tidak mempunyai dokumen langsung,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut menegaskan mana-mana negara di dunia ini mempunyai peraturan imigresennya sendiri dan tindakan tetap diambil terhadap PATI.

“Saya cabar Al-Jazeera untuk namakan mana-mana negara yang membiarkan PATI untuk berkeliaran di negara mereka secara bebas dan tanpa hukuman,

“Kalau Al-Jazeera ada senarai negara tersebut, sila tunjukkan. Sedangkan negara mereka (Qatar) mempunyai undang-undang dan tindakannya sendiri,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply