Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia tangkap 2 etnik Rohingya dalang penyeludupan PATI

Maritim Malaysia tangkap 2 etnik Rohingya dalang penyeludupan PATI

by M.Daim

ALOR SETAR, 21 Apr – – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya melumpuhkan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya ke negara ini dengan penangkapan 2 lelaki warganegara Myanmar.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som mengesahkan penangkapan kedua-dua lelaki terbabit yang dipercayai dari etnik Rohingya dibuat melalui satu operasi yang dijalankan di Kedah.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua suspek terlibat dengan kegiatan membawa masuk PATI Rohingya pada 5 April lalu di Langkawi.

Tangkapan pertama dibuat pada 17 April 2020 ke atas seorang lelaki warga Myanmar disyaki bangsa Rohingya berusia 36 tahun, pemegang kad UNCHR di sebuah rumah teres beralamat No 508, Fasa 2, Taman Bersatu, Simpang Empat, Kedah.

“Semasa serbuan dibuat suspek bersembunyi di atas siling rumah berkenaan, namun berjaya dikesan dan ditangkap oleh penguatkuasa Maritim Malaysia.  Maklumat siasatan juga mendapati suspek merupakan adik ipar kepada dalang utama aktiviti jenayah penyeludupan PATI yang aktif beroperasi di utara dan selatan Semenanjung,” kata Kepten Maritim Zulinda Ramly, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah Dan Perlis dalam satu kenyataan pada hari ini.

Tangkapan kedua dilakukan di sebuah rumah teres di Guar Chempedak, Kedah.

“Semasa serbuan, suspek kedua bersembunyi di belakang pintu utama rumah dan terus ditangkap oleh Tim Khas Maritim Kedah/Perlis,

“Tangkapan ini berjaya dilakukan berikutan maklumat siasatan lanjut ke atas suspek pertama dan hubung kait buku catatan dalang utama yang merekodkan penerimaan bayaran hasil aktiviti penyeludupan PATI  dipercayai etnik Rohingya pada 5 April lepas di perairan Langkawi,” jelas Zulinda.

Kedua-dua suspek yang ditahan oleh Maritim Malaysia mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan masuk PATI Rohingya ke negara ini pada 5 April lalu.

Sementara itu, siasatan Maritim Malaysia ke atas ke atas PATI dipercayai etnik Rohingya pada 5 April lalu mendapati mereka membayar sejumlah wang tidak kurang daripada RM15,000 setiap seorang kepada agen bagi urusan kemasukan ke Malaysia.

“Menerusi siasatan, kedua-dua suspek telah menggunakan beberapa nama samaran untuk mengelak identiti dan pergerakannya dikesan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, pergerakan suspek berjaya dikesan menerusi maklumat risikan yang diperolehi,” katanya lagi.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah Dan Perlis, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek yang menjadi dalang utama kegiatan penyeludupan PATI.

“Suspek disyaki merupakan dalang utama yang berperanan mengatur kemasukan PATI bagi permintaan di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Johor,” jelasnya.

Zulinda turut menegaskan pihaknya akan  memburu anggota sindiket yang terlibat khasnya  tekong-tekong darat yang disyaki bersekongkol dengan tekong laut untuk menyeludup PATI ke negara ini, sama ada di kalangan warga asing, pemegang kad UNCHR dan juga rakyat tempatan.

Menurutnya lagi, dalang kegiatan penyeludupan ini dipercayai telah mengaut keuntungan ribuan ringgit.

Related Articles

Leave a Reply