Home Pertahanan dan Keselamatan Dilarang guna topeng muka, t-shirt Op Penawar – Panglima Angkatan Tentera

Dilarang guna topeng muka, t-shirt Op Penawar – Panglima Angkatan Tentera

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 13 Apr – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM hari ini menegaskan pihak Angkatan Tentera Malaysia tidak mengeluarkan sebarang produk memaparkan nama Operasi Penawar berserta logo pasukan keselamatan untuk dijual kepada orang ramai.

Beliau mengulas penjualan produk topeng muka dan baju t-shirt yang memaparkan logo ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman jualan online dan media sosial.

“Ditegaskan, bahawa mana-mana pihak tidak boleh mengeluar, menjual, membeli dan menggunakan sebarang produk yang mengguna pakai nama OPERASI PENAWAR serta tertera logo ATM/PDRM tanpa kebenaran,

“Produk-produk tersebut boleh disalah guna oleh individu-individu tertentu, mengelirukan orang awam dan merupakan tindakan cuba mengambil kesempatan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan oleh ATM dan PDRM,” tegas Affendi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Beliau menambah, perbuatan sebegini boleh mencemar nama baik dan peranan kedua-dua agensi keselamatan ini yang tidak berteraskan sebarang keuntungan perniagaan.

Sementara itu, pihak PDRM turut mengeluarkan amaran tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penghasilan, penjualan atau menggunakan produk yang mempunyai lambang pasukan keselamatan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply