Home Pertahanan dan Keselamatan Kastam patahkan penyeludupan sisik tenggiling bernilai RM78 juta

Kastam patahkan penyeludupan sisik tenggiling bernilai RM78 juta

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 1 Apr – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan sindiket penyeludupan sisik tenggiling bernilai RM78 juta di Pelabuhan Utara, Klang semalam.

Dalam kenyataannya hari ini, JKDM berkata sepasukan anggota penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) telah berjaya menahan sebuah kontena berukuran 20 kaki.

Menurutnya, semakan K4 (Manifes Import) mendapati kontena itu diikrar mengandungi kacang gajus bagi mengelakkan daripada dikesan oleh JKDM.

“Modus operandi sindiket ialah dengan menyembunyikan sisik tenggiling terbabit disebalik guni-guni yang berisi kacang gajus bagi mengaburi mata pihak JKDM,

“Pengimport sisik tenggiling adalah dilarang mengikut Butiran 1, Bahagian III Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 kecuali dengan adanya kelulusan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” kata kenyataan itu.

Selain itu, sisik tenggiling juga dikategorikan sebagai larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan kelulusan permit.

“Jumlah anggaran rampasan adalah sebanyak 6,160 kilogram (kg) melibatkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM78 juta.

“Pengimport dan ejen Kastam yang terlibat dalam cubaan seludup sisik tenggiling ini sedang disiasat. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, JKDM mengesa orang ramai untuk membantu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan dinasihati orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,

“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarangaktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply