Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera akan diaturgerak jika masih ada yang berdegil – Menteri Pertahanan

Tentera akan diaturgerak jika masih ada yang berdegil – Menteri Pertahanan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemungkinan besar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dikerah untuk memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pengerakan yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020.

Ismail Sabri berkata mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri hari ini mencadangkan jika keadaan masih lagi tidak dapat dikawal sepenuhnya maka pihak tentera akan kemungkinan digunakan.

“Sebelum tentera digunakan, saya percaya mungkin tidak perlu, tetapi jika tidak ada pilihan pematuhan masih kekal setakat 60-70 peratus,

“Saya percaya kemungkinan besar tentera akan digunakan,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih diberi kepercayaan untuk mengadakan kawalan dan kuasa untuk perintah kawalan itu.

“Setakat ini pihak PDRM meminta kerjasama daripada RELA untuk mengadakan kawalan kawasan-kawasan kampung,

“Mungkin kalau RELA tidak mampu mengadakan kawalan di kampung-kampung, tentera akan digunakan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata setakat ini sekatan jalan raya oleh PDRM akan diteruskan seperti biasa.

“Cuma dalam dua, tiga hari pertama ini seperti diarahkan oleh Perdana Menteri, tindakan berhemah iaitu setakat menasihati sahaja,

“Saya percaya pihak polis akan mengubah cara daripada menasihati kepada tindakan lebih keras jika rakyat masih tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” tambahnya.

Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa selama 14 hari itu, bagi menangani penularan COVID-19.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu juga melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan ini, orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.

 

 

Related Articles

Leave a Reply