PASIR PUTEH, 8 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 500,000 batang rokok putih bernilai RM374,000 termasuk cukai yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari negara jiran di perairan Kuala Besar, Kota Bharu hari ini.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata bot peronda APMM yang sedang menjalankan operasi telah ke lokasi berkenaan selepas mendapat maklumat intipan pada pukul 4 pagi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, terdapat bot pancung yang mencurigakan dan pihak kami cuba mengejarnya selama setengah jam ketika bot itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot APMM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun bot berkenaan yang dinaiki tiga lelaki dipercayai bukan rakyat tempatan gagal ditahan apabila mereka berjaya melepaskan diri ke daratan.
”Apabila bot APMM kembali ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut pihak kami menjumpai sejumlah 50 bungkusan besar yang mengandungi 500,000 batang rokok berada di pesisir pantai,“ katanya.
Muhd Nur Syam berkata, pihaknya percaya rokok berkenaan untuk dipasarkan di kawasan sekitar termasuk di Kuala Besar, Tumpat dan Kota Baharu yang mendapat permintaan tinggi dan dijual pada harga RM4 hingga RM5 sekotak.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 termasuk untuk mengesan siapa penyeludup yang tidak bertanggungjawab yang ingin mencari keuntungan mudah itu.
Beliau berkata, ini merupakan tangkapan pertama berkaitan penyeludupan rokok pada tahun ini dan berazam akan terus berusaha untuk meningkatkan statistik tangkapan selaras dengan arahan kerajaan. – Bernama