Home Pertahanan dan Keselamatan Halang tugas Imigresen: Dua lelaki ditahan

Halang tugas Imigresen: Dua lelaki ditahan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan insiden anggota penguatkuasa Imigresen yang dihalang daripada melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata seorang individu berusia 47 tahun ditahan pada 7 malam semalam (Sabtu) manakala seorang lagi, yang berumur 56 tahun, diberkas kira-kira 12.30 tengah malam di sekitar Batu Caves.

“Kedua-dua mereka direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing di Batu Caves.

Arifai berkata pihaknya telah menerima dua laporan daripada pihak Imigresen serta satu laporan daripada individu yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara, malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply