SINGAPURA, 12 Feb – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah diiktiraf sebagai penerima Anugerah Peneraju Fleet daripada syarikat Airbus.
Syarikat Airbus dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan ini berdasarkan rekod penerbangan pesawat A400M yang tertinggi pada tahun 2019.
“Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian yang cemerlang ini, Airbus Defence and Space telah menyampaikan anugerah pencapaian kepada TUDM di Singapore Airshow 2020,” katanya.
Anugerah disampaikan oleh Naib Presiden Eksekutif, Pemasaran dan Jualan Airbus, Bernhard Brenner kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM.
Pada Mac 2015, TUDM telah menerima pesawat A400M yang pertama, diikuti dengan penerimaan pesawat kedua dan ketiga pada bulan Disember 2015 dan Jun 2016. Manakala pesawat keempat dan terakhir diserahkan kepada TUDM pada bulan Mac 2017.
Menurut Airbus, tiga buah pesawat A400M telah mencatatkan jumlah jam penerbangan tertinggi pada tahun 2019.
Salah satu dari pesawat tersebut telah mencatatkan rekod melepasi 2,000 jam penerbangan, manakala dua buah pesawat lagi mencatatkan hampir 1,900 jam penerbangan,
“Ini menjadikan TUDM sebagai peneraju fleet global bagi pesawat A400M untuk dua tahun berturut-turut. Antara bulan Ogos dan September 2019, TUDM juga mencapai tahap ketersediaan 100 peratus bagi fleet pesawat A400M selama lebih 40 hari berturut-turut,” kata kenyataan itu.
Kelebihan yang dimiliki A400M iaitu mampu untuk membawa muatan strategik dan menyokong misi kemanusiaan serta bantuan bencana alam dengan keupayaan untuk menyampaikan muatan walaupun ke lokasi taktikal yang mempunyai landasan penerbangan yang kecil dan tidak sempurna.
“Ia turut berfungsi sebagai pesawat tangki (tanker) barisan hadapan. Ini telah dibuktikan oleh TUDM akan kemampuan pesawat A400M melalui pelaksanaan pelbagai misi beberapa tahun yang lalu,” ujarnya.
Malaysia merupakan pelanggan eksport pesawat A400M yang pertama bagi Airbus. Pengendali lain bagi A400M adalah merangkumi Tentera Udara Jerman, Tentera Udara Perancis, Tentera Udara Sepanyol, Tentera Udara Diraja (UK) dan Tentera Udara Turki.