Home Pertahanan dan Keselamatan Lawatan Affendi perkukuh hubungan pertahanan dua hala dengan Singapura

Lawatan Affendi perkukuh hubungan pertahanan dua hala dengan Singapura

by Bernama

SINGAPURA, 11 Feb – Lawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang memperkukuh hubungan pertahanan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Singapura, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) republik itu semalam.

Affendi, yang dalam rangka lawatan pengenalannya ke Singapura bermula 9 hingga 12 Feb telah bertemu Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen di kementerian itu petang semalam, kata MINDEF di laman sesawangnya.

Semasa pertemuan itu, kementerian tersebut berkata Dr Ng dan Affendi mengesahkan hubungan pertahanan dua hala Singapura dan Malaysia yang sudah lama terjalin serta membincangkan cara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan ATM boleh memperkukuhkan lagi kerjasama dalam mendepani cabaran keselamatan bersama di rantau ini.

Affendi turut mengadakan pertemuan dengan Panglima Angkatan Tentera Singapura Leftenan Jeneral Melvyn Ong dan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormat, katanya.

Selain itu, MINDEF memaklumkan bahawa Affendi melawat Pasukan Pertahanan Awam Kedua di Kem Clementi di mana beliau menyaksikan demonstrasi Operasi Kontingensi Masa Aman (PTCO).

Beliau turut melihat paparan statik aset tentera dan sistem senjata serta menaiki Kenderaan Respons Terlindung Pasukan Pengaman.

Hari ini, Affendi dijadual menyaksikan paparan statik dan udara selain melawat reruai di Pertunjukan Udara Singapura 2020 di Pusat Pameran Changi.

Beliau dijangka melawat RSS Singapura, yang merupakan Pangkalan Tentera Laut Changi, pada sebelah petang di mana beliau akan diraikan di Pusat Pelakuran Maklumat dan menaiki frigat kelas Formidable, RSS Supreme.

SAF dan ATM berinteraksi secara berkala menerusi pelbagai aktiviti termasuk latihan dua hala, lawatan dan pertukaran serta platform pelbagai hala seperti Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)/ADMM-Plus.

Kesemua interaksi ini telah memperkukuh persefahaman bersama dan hubungan profesional antara anggota angkatan tentera kedua-dua negara. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply