Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot kargo bawa 17 penumpang tanpa kebenaran

APMM tahan bot kargo bawa 17 penumpang tanpa kebenaran

by Air Times News Network

LUMUT, 11 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot kargo yang disyaki membawa 17 penumpang tanpa kebenaran di Pulau Pangkor semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kargo itu ditahan di kedudukan lebih kurang 3 batu nautika timur laut Pulau Pangkor.

“Setelah ditahan dan diperiksa, didapati bot kargo tersebut mempunyai 3 kru dan turut membawa 17 penumpang tempatan berusia dalam lingkungan 21 hingga 46 tahun.

“Bot kargo itu dipercayai keluar dari jeti kargo Kampung Acheh menuju ke Pulau Pangkor,” katanya.

Menurut Shahrizan, bot kargo bersama kru serta penumpang itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Acheh dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk disiasat di bawah Peraturan Bot 1953.

“Kami (APMM) ingin mengingatkan kepada semua pengusaha bot perniagaan, pelancongan mahupun persendirian agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” jelasnya.

 

Related Articles

Leave a Reply