Home SemasaGlobal Tiada rakyat Amerika maut atau cedera dalam serangan peluru berpandu Iran – Trump

Tiada rakyat Amerika maut atau cedera dalam serangan peluru berpandu Iran – Trump

by Bernama

WASHINGTON, 10 Jan – Presiden Donald Trump pada Rabu berkata tiada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang maut atau cedera dalam serangan peluru berpandu oleh Iran ke atas tenteranya di Iraq pada Selasa dan Washington akan mengenakan sekatan tambahan terhadap Tehran.

“Tiada rakyat Amerika yang terjejas dalam serangan malam tadi (Selasa) oleh rejim Iran. Kita tidak mengalami sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” lapor agensi berita China Xinhua memetik ucapan Trump di Rumah Putih yang disiarkan menerusi televisyen.

Trump juga berkata bahawa “Iran kelihatan menghentikan seketika tindakannya” dan menyifatkan perkara itu sebagai “sesuatu yang baik” untuk semua pihak yang berkaitan.

“Amerika Syarikat akan segera mengenakan sekatan ekonomi tambahan sebagai hukuman ke atas rejim Iran. Kesemua sekatan keras ini akan kekal sehingga Iran mengubah tingkah lakunya,” kata beliau.

Presiden itu juga berkata kekuatan ketenteraan AS merupakan langkah “pencegahan terbaik” dalam krisis itu namun “ini tidak bermakna kami akan menggunakannya.”

Oleh itu, beliau akan meminta NATO agar lebih terlibat di Timur Tengah.

Sementara itu, Trump turut membayangkan potensi kerjasama antara Washington dan Tehran.

“Kemusnahan Daesh adalah sesuatu yang baik buat Iran dan kami sepatutnya berganding bahu dalam hal ini serta keutamaan lain yang dikongsi bersama,” katanya ketika mengakhiri ucapan itu.

Pentagon pada Selasa mengesahkan bahawa Iran telah melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik ke atas sekurang-kurangnya dua pangkalan tentera yang menempatkan tentera AS dan tentera pasukan gabungan di Iraq.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu dan berkata ia adalah bagi membalas dendam terhadap AS atas kematian komander tertinggi tentera elit tersebut, Qassem Soleimani. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply