Home Pertahanan dan Keselamatan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera kini beroperasi di Putrajaya

Maktab Pertahanan Angkatan Tentera kini beroperasi di Putrajaya

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) di Jalan Tekpi secara rasminya akan berpindah dan beroperasi sepenuhnya di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya mulai 16 Januari 2020.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bahagian Hal Ehwal Awam – J7 dalam satu kenyataan berkata MPAT merupakan sebuah institusi Pendidikan tertinggi ATM dalam menyediakan pendidikan profesional di peringkat Sarjana Kursus yang dihadiri oleh pegawai berpangkat Leftenan Kolonel atau Kolonel dan setaraf daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

“Maktab ini turut menawarkan pengajian kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), lain-lain kementerian serta pegawai tentera dari negara luar juga turut dijemput untuk menghadiri kursus,” kata kenyataan itu.

Pada 16 September 1981, MPAT telah dirasmikan dan pembukaan kursus siri 1/1981 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu Perdana Menteri Malaysia.

“Seterusnya pada 31 Januari 2002, satu Perjanjian Persefahaman (MoU) di Antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dimeterai bagi membolehkan peserta kursus MPAT dianugerahkan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Kajian Pertahanan) di samping Diploma MPAT,

“Sejak penubuhannya sehingga kini, MPAT telah diterajui oleh 21 orang Komandan, kini ia disandang oleh Laksamana Pertama Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin dan kursus siri 39/2019 merupakan siri terakhir yang dilaksanakan di premis ini manakala bagi siri 40/2020 telah pun bermula pada 3 September 2019 di PUSPAHANAS,

“Manakala jumlah graduan yang telah dihasilkan MPAT dari tahun 1981 hingga 2019 adalah seramai 1,363 orang pegawai yang melibatkan 707 orang pegawai TDM; 210 orang pegawai TLDM; 255 orang pegawai TUDM; 74 orang pegawai PDRM; 40 orang PTD; 2 orang pegawai APMM dan 75 orang pegawai tentera negara luar,” ujarnya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM telah menyempurnakan Majlis Penutupan serta Penyerahan Premis MPAT hari ini.

Majlis yang diadakan merupakan simbolik kepada penutupan premis ini dan akan diambil alih sepenuhnya oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul Samad TUDM; pegawai-pegawai kanan ATM; mantan Komandan dan wakil Alumni setiap kursus yang telah dilaksanakan di MPAT.

Artikel berkaitan : PUSPAHANAS dijangka beroperasi sepenuhnya Januari 2020

 

Related Articles

Leave a Reply