Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran di Georgetown

Maritim Malaysia tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran di Georgetown

by Bernama

GEORGETOWN, 6 Jan — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki yang didaftarkan di Singapura kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 26 batu nautika barat Muka Head, dekat sini semalam.

Pengarahnya, Kept Hamizan Harun berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kapal dengan nama pendaftaran Ocean Gull yang berukuran 116.65 meter panjang itu berlabuh di kawasan berkenaan sebelum sebuah peronda APMM membuat pemeriksaan pada 12 tengah hari.

Katanya hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal itu telah bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan 20 kru lelaki termasuk seorang nakhoda yang kesemua mereka berusia 23 hingga 55 tahun terdiri daripada lapan warga China, Myanmar (tujuh), Bangladesh (empat) dan seorang warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply