Pingat Panglima Gagah Berani (P.G.B.) dikurniakan kepada anggota keselamatan yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa ketika berhadapan dengan musuh.
Pingat ini juga merupakan pangkat yang kedua antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Gagah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.
Veteran Kor Risik Diraja (KRD), Pegawai Waran 1 (Bersara) Mohamad Baharom PGB merupakan salah seorang penerima ini. Beliau telah dikurniakan pingat tersebut pada tahun 2004 atas keberanian beliau semasa bertugas di Somalia.
Somalia – Negara yang bergolak
Pada April 1994, beliau telah dipilih sebagai anggota Pengaman PBB di Somalia sebagai Pegawai Waran Analisa di Chief Military Information Branch, Markas UNOSOM.
Pada ketika itu, kejadian Black Hawk Down di Bakara Market masih lagi diingati diseluruh dunia terutamanya di Malaysia dan Amerika Syarikat walaupun peristiwa itu telah berlaku pada awal Oktober 1993.
Bagi Mohamad, tugas dan amanah yang diberikan perlu dipikul walaupun nyawa menjadi taruhan. Beliau diberikan kepercayaan untuk mengumpul maklumat dan menghasilkan laporan tahap keselamatan bagi pihak PBB.
“Saya ditugaskan untuk mengumpul maklumat di beberapa ‘strong point’ dan meletakkan tanda bendera untuk pihak PBB,” katanya ketika temubual khas bersama Air Times.
Menurut beliau, bendera yang ditanda pada jalan adalah sebagai penunjuk kepada anggota pengaman akan tahap keselamatan dilaluan rondaan mereka.
“Merah menandakan kawasan tersebut adalah bahaya, sementara hijau pula menandakan kawasan itu selamat untuk dilalui,
“Warna kuning pula menandakan keadaan berjaga-jaga; bergantung kepada anggota PBB untuk melalui kawasan tersebut,” jelas Mohamad.
Somalia pada ketika itu terjebak dalam kancah perang saudara akibat perebutan kuasa antara puak terutamanya puak yang diketuai oleh Mohamad Farrah Aidid dan Ali Mahdi Muhammad.
Konflik ini menyaksikan banyak pembunuhan berlaku dan menjurus kepada isu bencana kemanusiaan. Konflik ini juga telah menyebabkan campur tangan PBB yang mahukan keamanan dikembalikan di Somalia.
Namun begitu, pasukan pengaman tidak terlepas dari menjadi sasaran kumpulan militia di Somalia.

Kawasan kejirana Mogadishu mempunyai banyak kawasan serang hendap yang digunakan oleh kumpulan militia Somalia.
Tarikh 18 Julai 1994 merupakan satu tarikh yang tidak akan dilupakan oleh Mohamad. Bagi dirinya, kejadian pada hari tersebut merupakan kali pertama untuk dirinya menyaksikan anak buah di bawah pimpinannya maut di depan matanya sendiri.
Petang itu, Mohamad telah ditugaskan sebagai pemandu kepada Kolonel Fulvio Vezzalini, seorang pegawai kanan dari Itali bersama dua orang lagi pegawai dari Itali bersama seorang lagi pegawai dari New Zealand.
Pada pukul 2.30 petang, konvoi yang terdiri daripada tiga buah kenderaan bergerak ke destinasi dari Markas United Nation Operation in Somalia (UNOSOM). Masih segar di ingatan Mohamad bahawa kenderaan beliau merupakan kenderaan yang kedua di belakang kenderaan Kapten Ferdinando Salvati.
Serang Hendap
Konvoi itu mula melepasi Pasar Bakara. Keadaan pada masa itu amat tenang. Mohamad mula berasa senang hati dan meneruskan pemanduannya sambil memerhati keadaan sekeliling. Kumpulan itu kini tiba di sekitar kawasan Hotel Guuleed (turut dikenali sebagai Hotel Guled).
Ketenangan pergerakan konvoi tiba-tiba berubah apabila kenderaan di hadapannya memecut laju dan merempuh pokok. Mohamad menyedari konvoi mereka diserang apabila peluru berdesing di telinganya ketika kenderaan beliau dihujani tembakan bertalu-talu.
“Sir, get down! It’s an ambush!” jerit Mohamad.
Dalam keadaan yang begitu genting, Mohamad sempat melihat rakannya, Staf Sarjan Azman yang mengendalikan General Purpose Machine Gun (GPMG) di kenderaan hadapan tumbang jatuh daripada kenderaan. Keadaan semakin huru-hara.
Mohamad semakin tertekan akibat tidak dapat melakukan apa-apa. Beliau yang merasakan bahawa keadaan itu akan menjadi semakin bahaya kepada dirinya dan Kol Vezzalini untuk terus berada dalam kenderaan tersebut memandangkan mereka berada di kawasan membunuh.
“Sir! Let’s get out from the vehicle. Hurry up sir!”, jerit Mohamad yang sedaya upaya yang menguatkan suaranya yang ditenggelami dengan bunyi tembakan bertalu-talu.
“I cannot open the door! Mohamad! Mohamad! Help me!”, teriak Kol Vezzalini dengan nada suara yang panik. Mohamad terasa pelik kerana mustahil pintu itu rosak.
Ketenangan fikiran Mohamad dalam situasi yang kelam kabut itu, beliau tiba-tiba teringat akan tabiat Kol Vezzalini yang sentiasa mengunci pintu apabila menaiki kenderaan. Mungkin kerana kejutan yang dialaminya membuatkan beliau lupa akan tabiat dirinya sendiri yang suka mengunci pintu kenderaan.
Tanpa banyak bicara, Mohamad terus membuka kunci pintu dan menolak Kol Vezzalini keluar daripada kenderaan mereka disusuli dengan Mohamad dan dua lagi anggota renjer yang berada dalam kenderaan yang sama.
Setelah Mohamad keluar, dilihat Sarjan Zaidi yang menaiki kenderaan hadapan terbaring di pinggir kenderaan dengan kecederaan di bahagian pinggulnya.
Mohamad terus mencari perlindungan di sebelah kanan tayar kenderaan. Melihat keadaan sekitarnya. SSjn Azman sudah terbaring. Sjn Zaidi pula sedang berusaha menghubungi Markas UNOSOM bagi mendapatkan bantuan.
Mohamad tahu ia merupakan tindakan yang sia-sia memandangkan alat komunikasi yang digunakan hanyalah walkie-talkie sahaja. Mana mungkin ia mampu menghubungi markas yang jauh dari kawasan serang hendap itu. Namun, tidak salah untuk menaburkan sedikit harapan dengan situasi cemas melanda mereka.
Mohamad terus meneliti keadaan sekeliling. Beliau cuba mengesan dimanakah kedudukan musuh berada. Dalam pada itu beliau ternampak Mendiang Gani ak Binyoi menaiki kenderaan hadapan bersama-sama Azman dan Zaidi.
Gani telah tercedera ditembak di bahagian peha. Babak itu menjadi lebih pilu apabila dilihat sekumpulan musuh merapat kearah Gani dan cuba merampas senjata miliknya. Gani berkeras memeluk senjatanya agar tidak jatuh ke tangan musuh.
Melihatkan keadaan itu, kumpulan militia Farah Aidid terus mengacukan laras senapang tepat ke arah kepala Gani dan melepaskan tembakan. Gani dibunuh di hadapan mata rakan sepasukannya.

Mendiang Gani Binjoi (kiri) Koperal dan Staf Sarjan Azman (kanan) maut dalam tragedi berdarah di Guuleed Hotel.
Ditawan
Tanpa berfikir panjang, Mohamad terus capai senjata M79 dan dibidiknya ke arah musuh.
“Mohamad! Don’t shoot!”, jerit Kol Vezzalini kepadanya.
Mohamad yang masih berada dalam keadaan geram dan marah berasa tidak berpuas hati dengan arahan pegawainya.
Dilihat keadaan sekelilingnya, mereka telah dikepung oleh kumpulan militia yang turut bersenjatakan pelancar roket RPG-7. Lebih menyedihkan, kumpulan penyerang berselindung disebalik orang awam yang turut berada di kawasan tersebut.
“Stop Mohamad! Drop the weapon and surrender. The situation is not in our favor”, tegas Kol Vezzalini kepada Mohamad.
Mohamad terpaksa akur dan menunggu serangan itu berhenti. Usai terhentinya kejadian tembak menembak itu, Mohamad mengamati keadaan persekitarannya. Hanya rakan yang terkorban dan tercedera sahaja yang berada di situ. Manakala empat lagi pegawai dari negara asing bersama-sama tiga lagi anggota tentera Malaysia.

Pelancar grenad M79
Setelah serangan berakhir, puak milita dan penduduk mula merampas senjata-senajata milik pasukan pengaman. Senjata yang dirampas sudah tentu akan jatuh ke tangan pihak musuh melalui penjualan ke pasaran gelap.
Mohamad bersama yang lain telah ditawan oleh militia yang lebih ramai. Beliau telah dibawa ke satu rumah yang dimiliki oleh imam.
Wang tebusan dan syahid
Mohamad kemudiannya dibawa ke sebuah banglo dan ditahan disitu. Beliau kemudiannya didatangi oleh seorang pegawai berpangkat Lt Kol dari Kumpulan Militia Farah Aidid. Pegawai tersebut terus menyoal siasat Mohamad.
Mohamad dihujani dengan pelbagai soalan oleh pihak militia yang vuba mengetahui akan tujuan kumpulan rondaan UNOSOM di Mogadishu. Mohamad terus memberikan jawapan bahawa beliau tidak tahu apakah tujuan pegawai-pegawai dari Itali itu datang.
Beliau hanya maklum bahawa mereka diaturgerak sebagai pengiring dan pemandu sahaja. Lain daripada itu beliau tidak tahu.
“Kalau tak mahu bagi kerjasama, saya akan bawakan Jeneral Farah Aidid,” ugut pegawai kumpulan militia yang tidak berpuas hati dengan jawapan Mohamad.
Mohamad Farah Aidid merupakan antara pembesar militia yang digeruni di Somalia. Beliau terkenal kumpulan militia pimpinan yang tidak bertolak ansur dengan musuh-musuhnya. Malang sekali, pengaman PBB turut menjadi mangsa.
“Tak kisah nak bawa siapa, saya nak kamu hantar kawan saya dan jenazah pulang ke pangkalan kami!” kata Mohamad.
Tidak lama kemudian,muncul seorang lelaki pertengahan umur dan beliau dikenalkan sebagai salah seorang imam dari kumpulan Farah Aidid dan kini Mohamad berada di rumahnya.
Mohamad berbisik kepada Kol Vezzalini selaku pegawai tertinggi di kalangan kumpulan ronda untuk melakukan rundingan dengan pihak militia. Tindakan militia menawan anggota pengaman secara hidup-hidup sudah tentu bertujuan untuk mendapatkan wang tebusan.
“Tuan, jalau tuan pandai, kita akan dilepaskan,” usul Mohamad kepada Kol Vezzalini untuk memulakan rundingan.
“Maafkan saya, Mohamad. Ini adalah kali pertama saya menghadapi situasi sebegini dan saya tak mampu nak berbuat apa-apa,
“Lagipun, awak adalah seorang penganut Islam dan sekarang perkara ini bergantung kepada awak,” kata Vezzalini. Jawapan yang sama diberikan oleh Kapten Salvati.

Penglibatan Malaysia di Somalia bukan sekadar insiden di Bakara Market, malah mempunyai 1001 kisah yang tersendiri.
Mohamad terus mengusulkan perbincangan dan memujuk imam tersebut. Namun begitu, usaha Mohamad tampak sia-sia. Imam terus meninggalkan beliau sehinggalah kali ketujuh Mohamad bertemu dengan imam tersebut.
“Dari pukul 6 petang sehingga 12 malam, kami berbincang macam-macam perkara,” imbas Mohamad.
Menurut beliau, banyak perkara dibincangkan antara beliau dengan imam tersebut. Antaranya isu agama, kemakmuran negara dan beberapa perkara lain. Malah, imam sedia maklum akan negara Malaysia namun mereka hanya mengetahui era Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri.
Perbualan yang bermula dengan baik menjadi serius apabila imam mula membangkitkan isu mati syahid.
“Nak tahu tak, kesemua umat Islam yang mati di sini adalah mati syahid,” ujar imam.
“Tidak! Cuba imam bagitahu saya apakah syarat-syarat orang mati syahid,” balas Mohamad yang tidak bersetuju dengan kenyataan imam tersebut.
Sudah tentu, imam menyebut syarat-syarat mati syahid yang diantaranya ibu mati melahirkan anak dan gugur ketika berperang demi agama.
Mohamad terus menyoal mengapakah kumpulan Ali Mahdi dan Farah Aid saling berperang sedangkan kedua-dua kumpulan ini beragama Islam? Mengapakah ikatan puak lebih diutamakan berbanding ukhwah sesama umat Islam?
“Adakah situasi yang berlaku di Somalia terjadi di Malaysia?” tanya imam.
“Tidak, negara kami terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Kami hidup dalam masyarakat majmuk dengan aman dan saling hormat dan menghormati,” jawab Mohamad.
Pulang ke pangkalan
“Baiklah, kami hantar kamu semua balik,” kata pihak militia selepas mendengar jawapan dari Mohamad.
“Kalau nak wang tebusan – hantar sahajalah rakan saya dan jenazah yang terkorban. Biarkan saya sahaja di sini kerana saya tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Mohamad yang masih ragu-ragu dengan tindakan pihak militia.
“Tidak, kami akan hantar kamu semua pulang ke pangkalan,” jawab imam.
Usai berunding, jam sudah menunjukkan larut malam. Pada ketika itu, Mohamad baru sedar bahawa mereka tidak menjamah sedikit makanan hatta minum setitik air pun sepanjang menjadi tawanan militia Somalia. Tidak lama kemudian, isteri imam menghidangkan air dan spaghetti.
Kemudian, kesemua tawanan dibawa ke kereta secara berasingan, setiap tawanan satu kereta. Rasa penat mula melanda Mohamad dan beliau terlelap semasa dalam perjalanan pulang.
“Mohamad! Kita dah sampai,” kata pegawai Farah Aidid berkata selepas menghentikan kenderaan 1000 meter dari penempatan tentera Malaysia di Pos K4. Mohamad mengangguk faham.
Mohamad berjalan kaki menuju ke balai pengawal Pos K4 dan memikirkan sama ada beliau perlu bercakap dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Belum sempat beliau membuat keputusan, lampu sorot pos kawalan hinggap ke mukanya.
“Jangan tembak! Jangan tembak! Itu adalah cik Mat,” kata seorang pengawal.
Mereka berlari-lari mendapatkan Mohamad. Mohamad memaklumkan kepada pegawai di pos untuk mengarahkan 13 anggota tentera Malaysia tanpa bersenjata untuk membawa jenazah dan anggota yang tercedera dari kenderaan kumpulan militia.

PW I Mohamad Baharom PGB (kanan) ketika bertugas sebagai anggota pengaman
Kesemua anggota yang tercedera kini dirawat oleh anggota perubatan. Jenazah Almarhum Azman dan Mendiang Gani diletakkan di sebelah surau. Mohamad berdiri dan memerhati jasad yang terkujur kaku dihadapannya.
“Cik, kita menyeksa mayat-mayat ini cik,” tiba-tiba datang seorang tentera berbangsa Iban bersuara menyentak dirinya yang sedang leka.
“Mereka masih memakai topi besi cik,” sambungnya lagi.
“Kamu pergilah tanggalkan helmet besi di kepala mereka itu,” arah Mohamad kepada anggota tersebut.
“Cik, saya tidak berani. Cik bukalah.” tutur anggota itu kembali.
Mohamad pun membuka helmet milik arwah Azman tanpa sebarang masalah namun tidak bagi mendiang Gani. Helmet mendiang ketat dan tidak boleh dibuka seolah-olah digam. Setelah diteliti, isi kepala dan darah mendiang melekat pada topi besi itu. Mohamad terus menarik secara paksa helmet tersebut dan tersembur darah dan isi otak melekat di badannya. Mohamad berdiam diri, terus terkenang apa yang dilaluinya.
“Masa tu saya tidak berasa sedih, tetapi saya berasa marah. Itulah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan kerana menyaksikan sendiri anggota bawahan saya mati di hadapan mata,” kata Mohamad.

Atas kebaranian beliau, PW I (B) Mohamad Baharom telah dikurniakan pingat PGB oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XII pada tahun 2004.
Atas keberanian beliau ketika berhadapan dengan kumpulan militia Somalia, Mohamad telah dikurniakan pingat PGB pada tahun 2004 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Mohamad mula menyertai ATM pada 30 September 1976 dengan menjalani latihan rekrut di Pusat Latihan Darat (PULADA) di Johor sebelum diserapkan masuk ke 19 RAMD. Pada 19 Februari 1982 beliau ditumpangkan ke Sekolah Perisikan Angkatan Tentera (SPAT) dan bertukar dari RAMD ke KRD pada tahun 1992.