Home Pertahanan dan Keselamatan Veteran tentera desak batal kerakyatan dalang bendera bintang 5 bucu

Veteran tentera desak batal kerakyatan dalang bendera bintang 5 bucu

by Nurulhuda

KUALA SELANGOR, 1 Dis – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menggesa kerajaan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera terhadap dalang isu Jalur Gemilang berbintang bucu lima dan membawa pulang abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke Malaysia.

Persatuan turut mendesak siasatan terperinci dan telus turut dijalankan terhadap kedua-dua isu tersebut.

Bawa pulang abu Chin Peng guris hati veteran

Timbalan Yang Dipertua PVATTBM Cawangan Selangor, Abdul Aziz Mohd Ali berkata tindakan membawa balik abu mayat Chin Peng tersebut telah melukakan hati para veteran yang satu masa dahulu banyak berjasa dalam mempertahankan negara tercinta termasuk menggempur keganasan komunis ketika darurat.

“Kami berasa amat dukacita dengan tindakan kerajaan Malaysia yang telah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia,

“Sepatutnya kerajaan mengambil kira kekejaman komunis dahulu sehingga menyebabkan ramai dikalangan perajurit-perajurit kita mengalami kecerderaan malah ada yang terkorban ketika menentang komunis demi mempertahankan negara,

“Sebagai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kami gesa kerajaan Malaysia memohon maaf kepada semua veteran yang telah menggadai nyawa demi mempertahankan negara,” kata Abdul Aziz kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor, hari ini.

Tiada maaf bagi MABA, buang kerakyatan yang sengaja ubah Jalur Gemilang

Abdul Aziz turut meluahkan rasa kecewa dan kesal terhadap individu yang dilihat sengaja menggugat kedaulatan negara dengan menyiarkan bendera Malaysia yang mempunyai bintang berbucu lima seperti melambangkan Parti Komunis Malaya.

“Apabila saya baca laporan media sebelum ini, mereka menyatakan kesilapan tersebut adalah disebabkan oleh kesilapan pekerja penyiaran yang tidak sengaja mempamerkan bendera Malaysia yang salah,

“Pekerja penyiaran itu rakyat Malaysia atau luar negara? Takkan tidak tahu bendera Malaysia mempunyai berapa jalur dan bintang?,

“Jadi saya minta pihak yang berkenaan buatlah siasatan yang seadilnya. Kita tidak menyalahkan kerajaan baru sedia ada, tapi kami rayu kerajaan mengambil tindakan sebetulnya untuk masa hadapan,

“Kami tidak boleh menerima tuntutan maaf dari Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan kami sekali lagi mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,

“Perbuatan individu tertentu itu boleh menggugat kedaulatan negara, kami sebagai veteran ATM mendesak kerajaan membatalkan kerakyatan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut,” kata Abdul Aziz yang menyatakan laporan ini merupakan laporan yang ke empat dibuat oleh PVATTBM.

Menurut Abdul Aziz, PVATTMB juga menyokong tindakan pihak polis yang telah mengambil keterangan dua individu terlibat dalam urusan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke Malaysia dan berharap siasatan dapat dibuat dengan tulus.

Menyentuh kenyataan Tan Sri Rahim Noor, Abdul Aziz menyatakan pendapat tersebut adalah bersifat peribadi.

“Itu pendapat peribadi masing-masing, sekarang ini beliau telah berhenti dari perkhidmatan dalam kerajaan macam kami juga sudah berhenti dari ATM. Itu hak individu untuk bercakap,” katanya lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara menegaskan kepulangan abu Chin Peng ke Malaysia seharusnya tidak menjadi isu kerana dunia telah menolak ideologi komunis dan Perjanjian Damai Hatyai 1989 telah ditandatangani.

Related Articles

Leave a Reply