Home Pertahanan dan Keselamatan APMM serah tiga nelayan Indonesia jatuh laut

APMM serah tiga nelayan Indonesia jatuh laut

by Bernama

LUMUT, 29 Nov – Tiga nelayan warga Indonesia yang terjatuh ke dalam laut dan diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 21 Nov lalu diserahkan kepada wakil kedutaan negara itu, hari ini.

Nelayan yang terjatuh di 8 batu nautika selatan Pulau Jarak di sini dikenali Ahmad Tohir Sharifudin, 31; Saiful Muamat Jen, 24; serta Safarman Damrah, 29, dan semuanya berasal dari Tanjung Balai, Asahan, Sumatera Utara.

Pengarah Maritim Perak, Kap Maritim Shahrizan Raman berkata bot dinaiki tiga nelayan terbabit dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut pukul 9.30 malam pada hari kejadian.

“Sebaik menyedari kehadiran Kapal Maritim (KM) Gagah, nelayan berkenaan cuba melarikan diri bagi mengelak diperiksa pihak berkuasa.

“APMM terpaksa mengejar bot berkenaan sehingga berlaku pergeseran antara KM Gagah dengan bot itu dan dalam masa yang sama kru bot terbabit didapati membuang beberapa objek ke laut dipercayai barangan seludup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Perak, Lumut, hari ini.

Terdahulu, Shahrizan menyerahkan semua nelayan terlibat kepada wakil kedutaan Indonesia, Muhammad Febi Khaira.

Shahrizan berkata semasa kejadian, pihak APMM telah mengarahkan bot berkenaan berhenti berikutan tiga awak-awak kapal terbabit bertindak terjun ke laut untuk mengelak daripada ditahan, namun akhirnya berjaya ditangkap dan diberikan rawatan.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah yang dilakukan kerana tiada bukti atau penemuan barang bukti secukupnya yang boleh disabitkan kesalahan terhadap mereka.

“Bagaimanapun, APMM mengesyaki selain menangkap ikan mereka turut melakukan aktiviti penyeludupan berdasarkan faktor saiz bot yang lebih besar berbanding bot-bot yang biasa ditangkap sebelum ini,” katanya.

Shahrizan berkata beliau berharap pihak kedutaan Indonesia dapat menjalankan siasatan lanjut terhadap kes itu memandangkan bot berkenaan juga sudah berada di negara jiran itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply