Home Pertahanan dan Keselamatan Latihan bilateral Malaysia-Indonesia diteruskan, jaga persempadanan negara

Latihan bilateral Malaysia-Indonesia diteruskan, jaga persempadanan negara

by Bernama

KUCHING, 26 Nov – Latihan bilateral antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) akan sentiasa diteruskan bagi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan kedua-dua buah negara.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Zamrose Mohd Zain berkata, latihan itu juga untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dalam membanteras kegiatan yang mampu menggugat keselamatan dan kedaulatan.

“Dari segi latihan memang kita teruskan, sekarang ini kita ada latihan Patroli Terkoordinasi (PATKOR) dan Malindo di peringkat Platun, Kompeni dan Batalion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Lawatan Timbal Balas Panglima Komando Daerah Militer (KODAM) XII/ Tanjungpura, Mayor Jeneral TNI Muhammad Nur Rahmad ke Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

Sesi lawatan itu membolehkan pucuk pimpinan tertinggi angkatan tentera kedua-dua buah negara yang berkongsi persempadanan darat antarabangsa ini bertemu dan saling bertukar pandangan mengenai isu yang mempunyai kepentingan strategik dan operasi.

PATKOR merupakan sebuah operasi rondaan bersama Malaysia-Indonesia yang dilaksanakan bagi membendung aktiviti yang melanggar undang-undang di perbatasan MALINDO. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply