Home Pertahanan dan Keselamatan Tiga nelayan positif dadah ditahan Maritim Malaysia

Tiga nelayan positif dadah ditahan Maritim Malaysia

by Air Times News Network

KUDAT, 23 November – Tiga orang nelayan yang didapati positif dadah berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia Kudat) dalam satu operasi yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kudat pada Rabu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, ketiga-tiga nelayan yang berusia 20 hingga 38 tahun itu ditahan di atas dua bot nelayan dengan nombor pendaftaran tempatan di kedudukan sekitar 0.2 batu nautika dari Marina Kudat, 5 petang oleh sebuah bot ronda Maritim Malaysia.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga nelayan itu mendapati suspek positif dadah jenis metaphetamine,

“Selain daripada itu, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati dua daripada nelayan terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri Malaysia yang sah,” kata Boon.

Menurut Boon, bot serta segala peralatan dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu katanya, satu operasi bersepadu di antara Maritim Malaysia dan AADK telah dijalankan pada 11 November lalu bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti maritim di sekitar Perairan Sibogoh, Kudat.

“Sebanyak 13 buah bot telah diperiksa sepanjang operasi tersebut bagi mengesan sebarang pelanggaran undang-undang serta penyalahgunaan dadah.

Boon berkata, ujian saringan telah dijalankan terhadap 27 orang individu namun, tiada sebarang kesalahan direkodkan sepanjang operasi dijalankan.

“Maritim Malaysia akan sentiasa menjalankan pemeriksaan seperti ini dari masa ke semasa bagi memastikan perairan negara selamat daripada sebarang anasir jenayah yang mampu menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara, tegas Boon.

Related Articles

Leave a Reply