Home Pertahanan dan Keselamatan Kelewatan projek kapal ‘Littoral Combat Ship’ disebabkan kontraktor dan pembekal peralatan – Hishamuddin

Kelewatan projek kapal ‘Littoral Combat Ship’ disebabkan kontraktor dan pembekal peralatan – Hishamuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan ada pihak cuba menyalahkan beliau dan kerajaan terdahulu mengenai kelewatan perolehan kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Hishammuddin berkata isu kelewatan LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual berpunca daripada kontraktor dan pembekal peralatan.

Perkara itu turut diakui oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 29 Oktober lepas mengenai kelewatan perolehan LCS berpunca daripada kontaktor gagal siapkan reka bentuk dalam tempoh ditetapkan, kontraktor lewat muktamadkan perolehan sebahagian peralatan dan kualiti kerja yang tidak memuaskan serta tidak ikut spesifikasi.

“Jelas masalah kelewatan berpunca daripada kontraktor dan syarikat pembekal peralatan. Jadi kenapa hendak salahkan saya dan kerajaan terdahulu? Kalau ya pun nak cari modal untuk hentam saya, check la fakta betul-betul dulu,” katanya melalui paparan skrin di Facebook miliknya.

Menurutnya lagi, pada 31 Oktober 2018, Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Berhad, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor juga pernah memberitahu sebab kelewatan seperti menunggu komponen penting dari syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

“Manakala sistem kawalan dan enjin telah diterima, tetapi kita mahu mantapkan lagi kapal, jadi kita tunggu peralatan yang diperlukan.

“Kelewatan perolehan LCS normal, kerana ini LCS pertama TLDM, jadi ia perlukan beberapa penambahbaikan,” kata Ahmad Ramli.

Hishammuddin menjelaskan kenyataan yang dibuat Ahmad Ramli turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong semasa di Majlis Peletakkan Lunas LCS ke-4 lepas.

Artikel berkaitan: https://www.airtimes.my/2019/11/21/gesa-sprm-siasat-projek-kapal-littoral-combat-ship-persatuan-veteran-tldm/

Semalam, Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang gagal diserahkan mengikut jadual.

Projek bernilai RM9.128 bilion itu telah dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertahanan.

Presiden PVTLDM Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata walaupun RM6 bilion telah dibayar tetapi tiada sebuah LCS pun diserah kepada TLDM walaupun mengikut kontrak yang ditandatangani pada Januari 2014, LCS 1 sepatutnya diserahkan pada April 2019.

Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di akaun Facebook rasminya.

 

Related Articles

Leave a Reply