Home Pertahanan dan Keselamatan Rejimen Khas Perisikan Tempur : 91 Grup Operasi Perisikan

Rejimen Khas Perisikan Tempur : 91 Grup Operasi Perisikan

by M.Daim

91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP) dahulunya dikenali sebagai 91 Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT). Penukaran nama pasukan ini adalah selaras dengan pengstrukturan semula Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Secara amnya, 91 GOP merupakan aset utama dalam pengumpulan maklumat perisikan strategik. Kewujudan pasukan ini menjadikan BSPP berkeupayaan dalam menyediakan maklumat perisikan yang lebih berkesan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pasukan ini mengadakan kursus dan latihan khas secara intensif bagi melahirkan operator perisikan yang berketerampilan serta berkemampuan untuk melaksanakan tugas.

Sejarah Penubuhan

Penubuhan 91 GOP bermula dengan pembentukan Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT) pada 1 April 1972 sebagai unit khas Kor Risik Diraja (KRD). Penubuhan KPKT diilhamkan oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan ke-2, Kolonel Hassan Salleh.

Pada awal penubuhannya, pasukan ini hanya terdiri daripada seorang pegawai dan 35 orang anggota Lain-lain Pangkat (LLP). Kekuatan ini telah membentuk satu Markas Trup dan tiga pasukan Ronda Kumpulan Kecil (RKK). Kesemua anggota yang terlibat adalah dipilih dari Rejimen Gerak Khas Malaysia (RGKM).

Trup ini diketuai oleh Leftenan Azman Sharif dan dianggotai oleh seorang Pegawai Waran, seorang Staf Sarjan, 9 orang Sarjan, 12 orang Koperal serta 11 orang Trooper.

Pasukan Ronda Kumpulan Kecil RKPT yang terlibat dalam Operasi Khas di kawasan Sungai Gapis,
Serendah, Selangor.

Penubuhan pasukan ini adalah berdasarkan keperluan perlaksanaan operasi khas perisikan bagi membendung ancaman pengganas komunis kepada negara.

Sebelum melaksanakan operasi sebenar, satu latihan secara berkumpulan dijalankan di Hutan Simpan Tangsi selama 3 bulan. Latihan yang diberikan kepada kumpulan perintis memberi fokus kepada taktik dan teknik RKK serta peperangan hutan.

Kumpulan perintis ini kemudiannya dipecahkan kepada dua kumpulan RKK dengan kumpulan pertama ditugaskan di Sarawak sementara kumpulan kedua pula ditugaskan di kawasan Perak Utara. Kumpulan pertama diketuai oleh Lt Azman Sharif di bawah perintah Pegawai Perisikan Tentera (PPT) Sarawak, Mejar Maulub Maamin. Kumpulan di Perak Utara pula ditempatkan dibawah perintah Lt Wan Hassan Wan Ismail selaku PPT Grik.

PKPT kemudiannya dibesarkan menjadi satu Skuadron dengan melibatkan anggota dari Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Renjer Diraja yang terlatih dalam bidang perisikan ditumpangkan ke Skuadron ini.

Pada tahun 1980, kekuatan PKPT telah bertambah kepada keanggotaan yang terdiri daripada seorang pegawai dan 74 LLP. Namun begitu, perjawatan pasukan tidak dapat dipenuhi sepenuhnya kerana sistem pemilihan yang teliti. Akan tetapi, PKPT masih lagi berupaya untuk memenuhi keperluan operasi membanteras ancaman komunis.

Pada 1 Januari 1983, PKPT sekali lagi diperbesarkan dengan penubuhan Markas Rejimen dan satu skuadron yang mempunyai empat trup. Pembesaran ini sekaligus melahirkan nama 91RKPT. Dengan itu, kesemua anggota 91RKPT yang ditugaskan di detasmen negeri-negeri dikumpulkan di Kem Changkat pada 10 Februari 1983.

Pada 10 Februari 1986, 91RKPT telah mengambil alih Kem Changkat dari Batalion 303 Infantri Askar Wataniah sebagai kem tetap pasukan.

Kejayaan operasi membanteras pengganas komunis

Dari awal penubuhannya, pasukan ini telah banyak mengapai kejayaan dalam operasi-operasi khas melawan insurgensi oleh pengganas komunis. Selain terlibat dalam pertempuran, PKPT telah berjaya mengesan tempat persembunyiaan, khemah, tempat simpan makanan dan persenjataan pengganas komunis.

Selain operasi khas, pasukan ini turut terlibat dalam gerakan bersama dengan pasukan keselamatan Thailand melalui Operasi Cahaya Bina, Operasi Selamat Sawadee dan Operasi Daoyai Musnah II.

91 RKPT (kini 91GOP) telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan sepanjang pelaksanaan misi menentang keganasan komunis.

Di Sarawak, pasukan ini terlibat dalam operasi bersama Trup Zulu Skuadron RGKM di Lundu dan Banjaran Pueh yang terletak di sempadan Sarawak-Kalimantan.

Atas khidmat bakti dan kecemerlangan PKPT dalam mengempur musuh, beberapa orang anggota PKPT telah dianugerahkan pingat keberanian. Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) telah dianugerahkan kepada seorang anggota PKPT dan tiga orang lagi dianugerahkan Pingat gagah Berani (PGB).

Disebalik kejayaan manis PKPT, beberapa orang anggota dari pasukan ini telah gugur ketika bertempur dengan pengganas komunis.

Walaupun tiada lagi ancaman pengganas komunis di tanah air, 91GOP tetap meneruskan latihan bagi memastikan keupayaan mereka setanding dengan kehendak semasa.

Operasi masa kini

Setelah peletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya pada tahun 1989, 91 RKPT tidak lagi terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan sebagaimana yang telah dilaksanakan semasa era insurgensi.

Walaupun begitu, pasukan ini terus dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan operasi-operasi khas di bawah arah Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan mengikut keperluan semasa

Related Articles

1 comment

K 16 February 2020 - 12:26 am

Jiran belakang, depan dan kiri rumah saya adalah anggota 91 rkpt pada tahun 80 sehingga 90an. Banyak cerita menarik tentang unit tempur ini

Reply

Leave a Reply