Home Pertahanan dan Keselamatan Anggota penyelamat jalani latihan, tingkat kecekapan menyelamat di kawasan tinggi

Anggota penyelamat jalani latihan, tingkat kecekapan menyelamat di kawasan tinggi

by Bernama

DUNGUN, 19 Nov – Seramai 60 anggota penyelamat dari pelbagai agensi di negeri ini menjalani latihan bagi mengukuhkan keupayaan menyelamat dan menguruskan mangsa di kawasan pergunungan dan tempat tinggi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata antara agensi yang terlibat dalam latihan yang berlangsung selama tiga bermula semalam di Air Terjun Chemerong, di sini itu ialah JBPM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, dan malim gunung.

“Kita memilih lokasi di Air Terjun Chemerong, Dungun yang mempunyai ketinggian air terjun setinggi 303 meter ini kerana ianya antara lokasi rekreasi dan pendakian yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

“Di sini malim gunung mengambil masa antara lapan hingga sembilan jam untuk sampai ke puncak, manakala bagi pendaki mungkin mengambil masa yang lebih lama sehingga mampu menyebabkan ketidaktahanan kecergasan badan dan kecederaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di Air Terjun Chemerong di sini.

Katanya di Air Terjun Chemerong sahaja, pihak bomba telah mengendalikan sebanyak 11 kes dengan 34 mangsa melibatkan kecederaan dan kematian, dari 2016 sehingga kini.

Selain itu katanya latihan tersebut turut mengenal pasti lokasi pendaratan helikopter di kawasan tersebut sekiranya perlu membawa keluar mangsa yang tercedera melalui laluan udara.

Dalam pada itu Mohamad Shoki berkata latihan tersebut turut melibatkan syarikat telekomunikasi memandangkan kebanyakkan kawasan rekreasi dan air terjun mempunyai masalah liputan komunikasi sehingga menyebabkan anggota penyelamat sukar untuk berhubung ketika operasi menyelamat dijalankan.

“Dalam latihan kali ini kita juga ingin melihat sejauh mana alat liputan komunikasi dapat digunakan dengan bantuan syarikat telekomunikasi dan adakah ianya mampu digunakan sehingga di puncak gunung,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply