Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais Pahlawan mantapkan keberkesanan operasi bersama tiga perkhidmatan ATM

Eksesais Pahlawan mantapkan keberkesanan operasi bersama tiga perkhidmatan ATM

by Air Times News Network

TELUK INTAN, 8 Nov – Eksesais Pahlawan Siri 16/2019 yang menggabungkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memantapkan keberkesanan operasi bersama melibatkan keseluruhan aset daripada anggota darat, udara dan laut.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki berkata eksesais ini bertujuan untuk menguji kesiapsiagaan anggota dan aset-aset ATM.

“Pada tahun ini, pelaksanaan latihan ini sejajar dengan hasrat ATM sebagai Tahun Ketumbukan Bersama (The Year of Joint) antara ketiga-tiga perkhidmatan,” katanya.

Latihan Medan (Field Training Exercise- FTX) dan Latihan Pos Pemerintah (Command Post Exercise- CPX) yang telah dilaksanakan telah menggabungkan keseluruhan aset daripada anggota darat, udara dan laut buat julung- julung kalinya, katanya.

Beliau selaku Pengarah Eksesais Pahlawan Siri 16/2019 berkata, latihan kali ini melibatkan keseluruhan aset-aset ATM yang mampu memperkukuhkan dan memberi pendedahan baik kepada pegawai dan anggota-anggota baru.

“Pelaksanaan eksesais ini akan memberi proses pembelajaran kepada mereka untuk menjadi pemimpin dan juga anggota-anggota yang terlatih pada masa hadapan, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Upacara penutup Eksesais Pahlawan Siri 16/2019 di Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

Eksesais Pahlawan kali ini melibatkan seramai 2,314 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Suhaimi turut menzahirkan perasaan bangga kerana latihan ini berjalan dengan jayanya, namun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk eksesais yang bakal berlangsung pada masa yang akan datang.

“Latihan ini akan diteruskan, yang mana kita telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan beberapa peningkatan yang perlu dilaksanakan pada tahun 2021”, ujarnya.

Upacara Penutup Eksesais Pahlawan telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, semalam.

Related Articles

Leave a Reply