Home Pertahanan dan Keselamatan Lancar sistem Pengurusan Antirasuah, Kementerian Pertahanan komited tolak amalan rasuah

Lancar sistem Pengurusan Antirasuah, Kementerian Pertahanan komited tolak amalan rasuah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kementerian Pertahanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan semua warganya terus berintegriti dan menolak amalan rasuah bagi melindungi, mempertahankan kepentingan negara yang menjadi teras kepada kedaulatan dan keutuhan wilayah serta kesejahteraan ekonomi.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, bagi memastikan objektif kementerian ini tercapai, salah satu strategi yang dibangunkan adalah dengan memantapkan akauntabiliti, governans, integriti dan antirasuah,

“Antara inisiatif yang dilakukan adalah dengan melaksanakan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang telah dipersijilkan oleh SIRIM QAS SDN. BHD pada Jul 2019,

“Dengan pelaksanaan ABMS ini, Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha memikirkan dan mewujudkan usaha-usaha yang sewajarnya ke atas prosedur serta peraturan sedia ada yang memungkinkan risiko berlakunya rasuah, penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa,” ujar Mohamad lagi pada Majlis Perasmian Bulan Integriti 2019 dan Pelancaran Buku Polisi Antirasuah Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, hari ini.

Buku Polisi Antirasuah yang dilancarkan turut menyenaraikan dan menekankan polisi-polisi bagi membenteras gejala rasuah di kementerian.

“Kementerian Pertahanan juga kini dalam usaha menyediakan Pelan Antirasuah kementerian bagi menangani gejala rasuah,

“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan integriti dan rasuah. Buktinya dengan mengambil tindakan dan melaporkan beberapa kes kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti ‘land Swap’ yang membabitkan pembinaan kem di Hutan Melintang, Bagan Datuk Perak melibatkan kos RM59.95 juta,

“Selain itu, kes pembelian helikopter tempur ringan MD530G yang masih belum diterima walaupun telah dibayar sebanyak 35% daripada nilai kontrak iaitu RM112.7 juta turut dilaporkan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersama barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan ketika Majlis Perasmian Bulan Integriti 2019 dan pelancaran Buku Polisi Antirasuah. – Foto Air Times

Beliau juga menegaskan kementerian akan mengambil tindakan segera ke atas semua aduan-aduan yang dilaporkan berhubung penyalahgunaan kuasa, penyelewangan dan salah laku integriti.

Dengan bertemakan “Integriti Teras Pertahanan Negara”, majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Mohd Azanuddin Salleh.

Related Articles

Leave a Reply