Home Pertahanan dan Keselamatan Wakil masyarakat, veteran sertai Dialog Kertas Putih Pertahanan

Wakil masyarakat, veteran sertai Dialog Kertas Putih Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Dialog Perwira 4 yang diadakan di Hotel Park Royal hari ini menyaksikan penglibatan masyarakat umum dan veteran tentera dalam pembangunan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Sesi dialog yang bertemakan ‘Kertas Putih Pertahanan: Mempertahankan Negara” telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Majlis ini dihadiri oleh seramai 200 orang wakil persatuan masyarakat dan veteran.

Dialog kali ini menampilkan seramai 3 orang ahli panel iaitu Leftenan Jeneral Datuk Kamarulzaman Mohd Othman, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Sahipulhijaiman Sulaiman, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pertahanan; dan Profesor Madya Dr Kuik Cheng Chwee dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Sesi Dialog Perwira 4 ini menjadi platform bagi ahli akademik dan pengubal polisi untuk menerangkan bagaimana KPP memainkan peranan dalam membawa suara generasi muda, masyarakat dan vetran dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara,” jelas pihak Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Dialog ini merupakan siri Dialog Perwira yang terakhir diadakan sebelum KPP dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal Disember nanti. Sesi ini juga merupakan penganjuran majlis yang pertama oleh Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) setelah diletakkan di bawah pentadbiran Pusat Pengajian Pertahanan Malaysia (PUSPAHANAS).

Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador.

Siri Dialog Perwira pertama kali diadakan pada 22 Januari lalu. Dialog sebegini diadakan bagi memastikan pembangunan KPP mendapat input dari segenap pihak termasuk masyarakat Malaysia.

KPP merupakan dokumen bersifat terbuka  yang bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang keutamaan masa kini serta perancangan masa hadapan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply